GrabAcademy telah melancarkan inisiatif latihan baharu dipanggil RideSafe 2026 bagi menyokong keperluan khusus bagi pekerja penghantaran makanan.

Dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Keselamatan Menunggang Singapura (RSAS) dan Persatuan Penyokong Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA), program baharu itu meneruskan usaha GrabAcademy dalam menyokong pekerja penghantaran makanan menerusi pembelajaran dan pembangunan kemahiran.

Menurut kenyataan media GrabAcademy pada 12 Julai, latihan baharu itu merupakan usaha berterusan Program Pembangunan Kemahiran Menunggang Lanjutan (ARDP), yang menggabungkan teori menunggang secara berhemah dengan kemahiran praktikal.

Hal tersebut demi membantu pekerja penghantaran makanan menangani cabaran seperti mengimbangi muatan berat di bahagian belakang serta mengharungi laluan bandar yang sesak dengan lebih yakin dan tepat.

Pelancaran program baharu itu telah dirasmikan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, yang turut menyaksikan 40 rakan penghantaran Grab menyertai sesi latihan sulung tersebut di pusat latihan yang terletak di Ayer Rajah Crescent pada 12 Julai.

Dalam ucapannya, Encik Dinesh berkata:

“Keselamatan pekerja platform adalah tentang memastikan setiap pekerja penunggang dapat pulang ke rumah dengan selamat selepas seharian bekerja.

“Ia juga bermakna memberikan ketenangan kepada keluarga apabila insan tersayang berada di jalan raya untuk mencari rezeki, di samping membina ekonomi platform yang mengutamakan keseimbangan antara fleksibiliti dan produktiviti dengan kesejahteraan pekerja, supaya platform ini dapat terus berkembang.”

Encik Dinesh menambah bahawa beberapa kemalangan dan insiden sejak kebelakangan ini sememangnya meningkatkan perhatian terhadap aspek keselamatan dalam sektor ini, khususnya bagi pekerja platform, termasuk penunggang penghantaran.

“Pelancaran RideSafe hari ini merupakan contoh baik bagaimana kerjasama seperti ini dapat menterjemahkan keutamaan keselamatan kepada tindakan di jalan raya.

“Kursus seperti ini membantu penunggang mengenal pasti risiko lebih awal, menunggang dengan lebih berhemah dan membuat keputusan lebih baik ketika berada di jalan raya, bergantung pada keadaan cuaca dan trafik,” kata Encik Dinesh.

Peserta yang menjalani latihan akan menggunakan beg penghantaran makanan mereka sendiri.

Ini membolehkan tenaga pengajar membimbing mereka dalam keadaan yang mencerminkan situasi sebenar ketika menjalankan tugas penghantaran.

Justeru, kursus selama empat jam itu merangkumi pembelajaran teknik menunggang secara berhemah, kesedaran terhadap bahaya dan jangkaan risiko, pengendalian motosikal, kawalan pada kelajuan rendah dan teknik brek ketika kecemasan, serta kestabilan motosikal semasa membawa muatan penghantaran.

Turut hadir di acara pelancaran itu ialah Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga Penasihat NDCA, Cik Yeo Wan Ling.

Cik Yeo yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata:

“Angka berkaitan keselamatan di tempat kerja menunjukkan penunggang masih berdepan risiko keselamatan ketika bekerja.

“Justeru, NDCA sentiasa menggesa agar sokongan terhadap aspek keselamatan diperkukuh, di samping langkah yang dapat melindungi mata pencarian mereka.”