ComfortDelGro naikkan tambang teksi dek peningkatan kos bahan api
ComfortDelGro naikkan tambang teksi dek peningkatan kos bahan api
Syarikat teksi terbesar di Singapura, ComfortDelGro, mengumumkan pada 17 Mac kenaikan sementara tambang meter serta memperkenalkan caj tempahan aplikasi.
Langkah itu bagi membantu pemandu menghadapi peningkatan kos operasi, susulan perang di Timur Tengah yang memberi tekanan pada harga bahan api.
Menurut kenyataan syarikat, caj baru itu akan berkuat kuasa dari 24 Mac hingga 31 Mei.
Sepanjang tempoh tersebut, tambang meter bagi jarak dan masa menunggu meningkat satu sen.
Kadar semasa antara 26 sen bagi teksi biasa dengan 36 sen bagi teksi limousin.
Selain itu, caj pemandu bagi tempahan melalui aplikasi Zig akan diperkenalkan, iaitu 50 sen untuk tambang di bawah $15 dan 80 sen bagi tambang $15 ke atas.
Ketua perniagaan mobiliti dari satu tempat ke satu tempat (P2P) Singapura ComfortDelGro, Encik Michael Huang, berkata semua caj itu akan disalurkan terus kepada pemandu.
“Kami akan terus memantau keadaan dan memastikan kemantapan operasi dalam tempoh tidak menentu ini,” katanya.
Pada awal Mac, ComfortDelGro turut menyerap sebahagian kenaikan kos bahan api di stesen minyak dalaman, dengan harga petrol meningkat daripada $1.93 seliter pada 5 Mac kepada $2.31 seliter pada 11 Mac, namun masih lebih rendah berbanding harga stesen minyak biasa.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Teksi Nasional (NTA), Cik Teo Siew Pan, berkata langkah itu memberi sokongan langsung kepada pemandu, manakala Encik Raven Lee, Setiausaha Eksekutif daripada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) menambah, caj aplikasi membantu mengimbangi kos operasi yang meningkat.
Cik Teo dan Encik Lee mengarahkan pemandu yang memerlukan bantuan kepada skim kewangan NTA, NPHVA dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Harga bahan api di stesen utama dilaporkan meningkat sekitar 20 peratus sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.
Harga tersebut tidak termasuk diskaun dan mungkin berbeza daripada jumlah sebenar yang dibayar pemandu di stesen minyak.
Pengguna Zig, Cik Nicolette Ten, berkata beliau akan terus menggunakan aplikasi itu tetapi akan membandingkan harga dengan Grab dan Tada terlebih dahulu.
“Kadangkala teksi bermeter lebih murah, terutama waktu sibuk,” katanya.
Seorang lagi pengguna Zig, Cik Choy, berkata beliau akan memilih perkhidmatan lebih murah walaupun bersimpati dengan pemandu.
Sebelum ini, ComfortDelGro pernah menaikkan tambang pada Mac 2022 dan Disember 2023 bagi membantu pemandu menampung kos akibat kenaikan harga bahan api, inflasi dan cukai.

