Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cef Akmal antara 20 usahawan restoran mewah Timur Tengah diiktiraf Forbes

Jul 15, 2024 | 5:07 PM
Cef Akmal Anuar berjaya tersenarai dalam Majalah Forbes sebagai pemilik restoran yang disegani di Timur Tengah.
Cef Akmal Anuar berjaya tersenarai dalam Majalah Forbes sebagai pemilik restoran yang disegani di Timur Tengah. - Foto WHITE RICE CO

Anak watan yang juga Cef bertaraf dunia, Cef Akmal Anuar, 42 tahun, sering muncul dalam media tempatan dek kejayaannya menempa nama dengan restoran-restorannya di Timur Tengah.

Kini, nama Cef Akmal naik carta lagi sebagai antara 20 pemilik restoran yang menerajui konsep restoran mewah dan tersenarai dalam majalah perniagaan berprestij Forbes Middle East.

Senarai itu mengiktiraf usahawan dalam bidang kulinari yang telah menubuhkan restoran dan jenama yang berpangkalan di Timur Tengah.

Seramai 20 individu terpilih itu datang daripada pelbagai latar belakang dan kewarganegaraan, dan 12 antaranya ialah pemilik restoran dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk Cef Akmal sendiri yang berpangkalan di Dubai.

Cef Akmal Anuar di restoran terbarunya ‘Funkcoolio’ di Port La Mer, Dubai yang mengabungkan makanan Italy dan Jepun.
Cef Akmal Anuar di restoran terbarunya ‘Funkcoolio’ di Port La Mer, Dubai yang mengabungkan makanan Italy dan Jepun. - Foto WHITE RICE CO

Menurut Forbes, sebuah majalah perniagaan antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat, senarai itu mengecualikan syarikat yang mempunyai francais untuk restoran global di Timur Tengah, dan mengambil kira berapa buah restoran di bawah pengurusan peserta, kekuatan jenama restoran di persada antarabangsa, pengalaman pengusaha dan kedudukan pasaran restoran itu.

Cef Akmal, yang telah membuka restoran pertamanya di Singapura, Harummanis di 37 Sultan Gate pada November 2023, berkata beliau teruja tersenarai dalam Forbes.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) tentang kekuatan atau keistimewaannya sebagai Cef, beliau menjelaskan:

“Saya bukan lagi hanya seorang tukang masak, saya diiktiraf sebagai seorang pemilik restoran bertaraf global. Di sebalik mengendalikan restoran, saya berurusan dengan hal hartanah, kongsi niaga dan pelaburan.

“Dalam menjalankan perniagaan ini, aspek kulinari lebih menyerlah dalam meningkatkan kreativiti, inspirasi dan pengalaman menyeluruh untuk pengunjung.”

Cef Akmal menyertai Restoran Iggy di Singapura pada tahun 2005 dan bekerja dengan cef bertaraf dunia, termasuk Dan Hunter, Andoni Luis Aduriz dan Yasuhiro Sasajima.

Beliau berpindah ke Dubai pada 2014 bersama isteri dan anaknya, di mana beliau menyertai Starwood Group dan mengetuai projek Zengo Le Royal Meridien, bekerjasama dengan Richard Sandoval Hospitality.

Pada akhir 2016, beliau memulakan restoran 3Fils di Pelabuhan Memancing Jumeirah, Dubai.

Pada 2020, beliau menjadi pengasas White Rice Consultancy dan pada 2021, membuka Goldfish Sushi & Yakitori.

Konsepnya dengan White Rice termasuk restoran Jepun Otoro, Goldfish Sushi & Yakitori, Chie, Sam Tarts dan yang terbaru, Funkcoolio yang baru saja dibuka secara rasmi di La Mer, Dubai pada Mei 2024.

Walaupun telah berkali-kali menerima anugerah berprestij dalam bidang kulinari termasuk Anugerah Michelin untuk restoran 11 Woodfire, Cef Akmal merasakan penghargaan kali ini berbeza kerana ia meletakkan namanya di persada perniagaan yang berjaya.

“Forbes ialah wadah yang disegani dalam dunia perniagaan. Ia mempunyai audiens yang berlainan, dan ini adalah satu yang cara individu dari industri berbeza mendapat pengiktirafan,” ujar bapa kepada tiga anak perempuan itu.

Dalam pada itu, Cef Akmal juga berkongsi bahawa kegagalan adalah lumrah kehidupan, dan beliau telah banyak melalui liku-liku yang pernah mematahkan semangatnya.

“Kita akan selalu berhadapan dengan kegagalan, tetapi penting untuk lihat pada aspek positif dan teruskan perjalanan,” katanya lagi.

Di bawah syarikat konsultasi White Rice Co, Cef Akmal memiliki 11 buah restoran, termasuk lapan di UAE, satu di Singapura, satu di New York City dan satu lagi di Paris.

Beliau kini dalam perancangan membuka kafe yang menjual kopi dan pastri diberi No Strangers Here di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg