Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO, CFO SingPost akan cabar pemecatan

Kededuanya berkata tindakan ‘tiada merit dan tidak adil’
Dec 23, 2024 | 5:58 PM
Mantan CEO SingPost, Encik Vincent Phang (kiri), dan mantan CFO, Encik Vincent Yi, berkata mereka dengan tegas mempertikai penamatan perkhidmatan mereka.
Mantan CEO SingPost, Encik Vincent Phang (kiri), dan mantan CFO, Encik Vincent Yi, berkata mereka dengan tegas mempertikai penamatan perkhidmatan mereka. - Foto ST, BT

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Singapore Post (SingPost), yang dipecat pada 21 Disember menyusuli satu laporan pemberi maklumat, berkata sebab yang diberi bagi menamatkan perkhidmatan mereka tidak mempunyai alasan kukuh, dan proses yang membawa kepada tindakan itu tidak dijalankan secara adil.

“Kami berpendirian bahawa penamatan khidmat itu adalah tanpa merit dan juga tidak adil dari segi prosedur,” kata mantan CEO SingPost, Encik Vincent Phang, dan mantan CFO, Encik Vincent Yik, dalam satu kenyataan bersama yang dihantar kepada media pada 23 Disember.

“Kami dengan tegas mempertikaikan penamatan perkhidmatan kami, baik dari segi merit mahupun atas sebab ketidakadilan prosedur.

“Kami dengan tegas menolak sembarang cadangan bahawa kami terlalu cuai, bertindak secara tidak wajar atau cuba memutar belit fakta pada masa tertentu,” kata mereka.

Encik Phang, Encik Yik serta pegawai ketiga, Encik Li Yu – CEO unit perniagaan antarabangsa SingPost – diberhentikan berkuat kuasa serta-merta pada 21 Disember selepas siasatan dilakukan menyusuli satu laporan oleh seorang pemberi maklumat, lapor The Straits Times (ST).

Menurut SingPost dalam satu kenyataan pada 22 Disember, ia menerima laporan pemberi maklumat pada awal 2024 berhubung perniagaan kiriman bungkusan antarabangsa melalui wadah e-dagang syarikat itu.

Laporan tersebut mendakwa syarikat itu mengemas kini kod penghantaran bungkusan secara manual untuk menunjukkan penghantaran telah dibuat namun gagal, sedangkan ia tidak mencuba menghantarnya.

Catatan itu dibuat tanpa dokumen sokongan.

Siasatan dalaman mendedahkan bahawa tiga pengurus dalam unit perniagaan syarikat itu melakukan pelanggaran serius terhadap kod tatalaku (COC) syarikat itu dengan mengemas kini kod status penghantaran secara manual, sedangkan tiada penghantaran dibuat.

Kenyataan SingPost tidak menyatakan mengenai kandungan bungkusan tersebut, nilainya dan sebab ia tidak dihantar.

Namun, ia menyatakan pelanggan yang seharusnya menerima bungkusan itu telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut, dan satu perjanjian penyelesaian dipersetujui bersama pembayaran wang.

SingPost tidak mendedahkan identiti pelanggan berkenaan atau jumlah yang dibayar dalam penyelesaian tersebut.

Khidmat ketiga-tiga individu tersebut ditamatkan dan satu laporan polis terhadap mereka dibuat oleh syarikat itu.

Siasatan dalaman juga mendapati Encik Phang, Encik Yik dan Encik Li memberi perhatian tidak wajar terhadap kenyataan salah yang dibuat oleh beberapa pekerja di unit perniagaan tersebut tanpa sebarang pengesahan atau bukti bebas.

Ketiga-tiga mereka juga didapati “terlalu cuai” dalam menangani siasatan dalaman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg