Pengendali penjagaan kesihatan NHG Health telah melantik Dr Jamie Mervyn Lim, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Kesihatan Mental (IMH), mulai 1 Februari 2026.
Dr Lim, yang kini dipinjamkan ke Hospital Ren Ci sebagai CEO, akan melepaskan jawatannya pada 18 Januari dan menjadi CEO yang dilantik di IMH mulai 19 Januari, lapor The Straits Times (ST).
Beliau akan mengambil alih jawatan CEO IMH daripada Profesor Madya Daniel Fung, yang merupakan Pengerusi Lembaga Perubatan IMH dari 2011 hingga 2021 dan kemudian sebagai CEO sejak 1 Februari 2021.
Dr Lim membawa pengalaman kepimpinan yang luas merentasi sektor penjagaan akut dan masyarakat, kata NHG Health, dalam satu kenyataan pada 18 November, bagi mengumumkan perubahan pucuk pimpinan itu.
Menggantikan Dr Lim sebagai CEO Hospital Ren Ci ialah Profesor Madya Yong Keng Kwang, yang kini merupakan penolong CEO IMH merangkap ketua jururawat kumpulan dan ketua pegawai kesejahteraan di NHG Health.
Sebelum dilantik sebagai CEO Hospital Ren Ci, Dr Lim pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dari 2015 hingga 2022.
CEO Kumpulan NHG Health, Profesor Joe Sim, berkata pengalaman dan kepakaran Dr Lim yang luas dalam penjagaan akut, masyarakat dan pemulihan akan menyokong peranan IMH bagi fasa seterusnya.
Ia termasuk usaha IMH dalam membina kesinambungan kesihatan mental sepanjang hayat, agar penjagaan dapat diteruskan melangkaui penjagaan di hospital.
“(Sebagai) rumah kepada satu pertiga daripada semua pakar psikiatri di Singapura, IMH mempunyai tanggungjawab untuk menyokong hospital awam lain,” tambahnya.
Sepanjang tempoh perkhidmatan Dr Lim, Hospital Ren Ci telah mengembangkan perkhidmatannya ke utara Singapura dengan pembukaan rumah penjagaan ketiga di Woodlands, menjadikan bilangan katil Hospital Ren Ci melebihi 1,300.
Beliau juga telah mengubah perkhidmatan penjagaan di rumah dan membangunkan keupayaan baru untuk Hospital Ren Ci.
Kini, Hospital Ren Ci adalah satu-satunya organisasi yang menawarkan rangkaian penuh perkhidmatan penjagaan pascaakut, kata NHG Health.
Menyentuh mengenai sumbangan Profesor Fung sepanjang perkhidmatannya sebagai CEO, NHG Health berkata, di bawah kepimpinan beliau, IMH telah memperkukuh peranannya sebagai pusat pakar bagi penjagaan psikiatri NHG Health di Singapura.
Profesor Fung diiktiraf secara luas, di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, sebagai penyokong utama pendekatan kesihatan mental untuk seluruh masyarakat, tambahnya.
Mengulas tentang Profesor Fung, Profesor Sim berkata:
“Sepanjang empat tahun lalu (sejak 2021), di bawah kepimpinan Profesor Fung, IMH telah berkembang dalam penjagaan pencegahan dan masyarakat, membawa Singapura ke hadapan dalam bidang kesihatan mental.”
Profesor Sim menambah, beliau “sangat menghargai kepimpinan Profesor Fung dalam merapatkan jurang penjagaan kesihatan mental dengan rangkaian hospital yang lebih luas”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg