Kesihatan mental warga emas tidak boleh diketepikan, malah pakar menegaskan bahawa banyak isu yang perlu diberi perhatian dalam hal tersebut.
S: Apakah diagnosis kesihatan mental yang biasa berlaku dalam kalangan warga emas?
Menurut Perunding Kanan dan Ketua, Psikiatri Geriatrik Institut Kesihatan Mental, Dr Yao Fengyuan, beberapa masalah kesihatan mental lain yang lazim dialami warga emas termasuk:
– Kemurungan. Ia adalah salah satu diagnosis psikiatri yang paling kerap dikesan dalam kalangan golongan tua, walaupun selalunya tidak didiagnosis.
– Rasa cemas kerap berlaku termasuk serangan panik dan fobia. Kebimbangan kesihatan mental sering menjadi lebih ketara apabila isu berkaitan kesihatan fizikal meningkat seiring usia.
– Delirium atau meracau sangat biasa berlaku pada warga senja yang dimasukkan ke hospital. Ciri-cirinya termasuk rasa keliru yang akut dan kesedarannya yang kerap berubah.
– Sukar tidur seperti insomnia dan apnea, di mana keadaan terhentinya pernafasan beberapa ketika dalam tidur, boleh menjejas fungsi mental serta kognitif dengan ketara.
– Sukar menyesuaikan diri kerap berlaku apabila warga emas menghadapi isu seperti kehilangan atau kematian (pasangan, rakan), perubahan pada kesihatan, persaraan, atau berpindah ke kemudahan penjagaan.
S: Adakah warga emas biasanya dirujuk oleh keluarga mereka, atau adakah mereka mendapatkan bantuan sendiri? Mengapa?
Menurut Dr Yao warga emas biasanya dirujuk keluarga mereka.
Mereka jarang mendapatkan bantuan sendiri kerana beberapa sebab utama:
– Membiasakan diri dengan simptom misalnya kemurungan atau masalah ingatan, dianggap sebagai sebahagian daripada proses penuaan.
– Stigma tentang kesihatan mental masih menjadi penghalang besar.
– Rasa lemah membataskan pergerakan dan akses kepada rawatan, menyebabkan mereka menangguhkan usaha mencari bantuan sehingga masalah menjadi lebih rumit.
S: Bagaimanakah masalah kesihatan mental lewat usia dapat diuruskan? (Contohnya, apa yang boleh dilakukan oleh keluarga dan rakan-rakan?)
Ahli Psikologi Klinikal Utama, IMH, Cik Lim Si Huan berkata pendekatan pelbagai serampang diperlukan untuk mengurus masalah kesihatan mental lewat usia dan ia bermula dengan penilaian ubat (farmakologi) dan pengurusan penyakit kronik.
– Penerimaan: Mengiktiraf berlakunya perubahan fizikal dan kognitif yang tidak dapat dielakkan.
Keluarga boleh menetapkan jangkaan yang realistik bagi aktiviti warga senja untuk mengelakkan kekecewaan.
– Penyesuaian: Mencari alternatif yang selamat untuk meneruskan aktiviti yang bermakna.
Peranan keluarga adalah untuk bekerjasama secara kreatif untuk mengubah suai persekitaran atau cara aktiviti dilakukan misalnya, membenarkan warga emas duduk semasa memasak.
– Penerokaan: Meneroka minat atau hobi baru, serta rangkaian sosial untuk mencapai tujuan hidup yang baru.
Menemani warga emas pada awal penyertaan melakukan aktiviti baru dapat membantu golongan tersebut dalam perjalanan ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg