Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO: Lebih separuh pekerja Jetstar Asia dihenti sudah terima tawaran kerja, temu duga

Jul 31, 2025 | 7:25 PM
jetstar asia, kru
Kru kabin dan juruterbang Jetstar Asia berlepas untuk penerbangan terakhir mereka di Terminal 4, Lapangan Terbang Changi, pada 31 Julai. - Foto ZAOBAO

Lebih separuh daripada sekitar 900 permohonan kerja oleh lebih 500 kakitangan Jetstar Asia yang diberhentikan telah membawa kepada tawaran kerja atau panggilan temu duga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jetstar Asia, Encik John Simeone, memberitahu perkara tersebut pada hari terakhir syarikat penerbangan itu beroperasi, pada 31 Julai, dalam satu wawancara di luar ruang rehat kru Jetstar Asia di Terminal 4 (T4), Lapangan Terbang Changi.

Selain 54 peratus permohonan kerja yang berjaya atau sedang diproses, beliau menambah baki kakitangan lain sedang mengambil masa untuk berehat, menukar kerjaya, atau masih menunggu maklum balas daripada permohonan yang telah dihantar.

Syarikat penerbangan kos rendah yang berpusat di Singapura itu mengumumkan pada 11 Jun bahawa ia akan menghentikan operasi pada 31 Julai, selepas lebih 20 tahun mengendalikan penerbangan di sini.

Langkah itu diambil kerana peningkatan kos dan persaingan yang semakin sengit.

Lebih 500 kakitangan yang berpangkalan di Singapura, termasuk lebih 100 juruterbang dan hampir 300 kru kabin, telah diberhentikan kerja, lapor The Straits Times (ST).

Selepas pengumuman penutupan Jetstar Asia, terdapat usaha bersepadu oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan rakan industri penerbangan untuk membantu menempatkan kru yang terjejas dalam pekerjaan baru.

Encik Simeone berkata 11 Jun merupakan hari paling sukar dalam kerjayanya selama 26 tahun dalam bidang penerbangan, apabila beliau terpaksa memaklumkan kepada 550 pekerja bahawa syarikat penerbangan itu akan menghentikan operasi pada 31 Julai.

Menurut beliau, beberapa jam selepas menerima berita tersebut pada pagi 11 Jun, kru Jetstar Asia kekal profesional dan meneruskan operasi bagi sekitar 40 penerbangan yang dijadualkan pada petang tersebut.

“Walaupun hari itu sulit bagi saya, ia adalah hari yang sukar juga untuk semua pekerja kami – mesej itu payah diterima. Tetapi mereka bersatu, saling menyokong dan menjaga antara satu sama lain,” tambah Encik Simeone.

Jetstar Asia ujar beliau adalah salah sebuah syarikat penerbangan tambang rendah murah di Singapura sejak 2004, yang memudahkan rakyat Asia Tenggara untuk membuat perjalanan ke luar negara dengan kos lebih rendah.

Menurutnya, syarikat penerbangan itu telah menyediakan perkhidmatan yang membolehkan orang ramai melancong ke destinasi baru dan unik sepanjang 20 tahun lalu, yang sukar dicapai tanpa perkhidmatan tersebut.

Encik Simeone menambah syarikat penerbangan tersebut akan meninggalkan legasi sebagai perniagaan yang mengutamakan pelanggan dan keselamatan, walaupun beroperasi dalam persekitaran yang amat mencabar dan penuh persaingan bagi syarikat tambang rendah di Asia Tenggara.

Beliau turut memaklumkan bahawa sekitar 70 kakitangan Jetstar Asia akan kekal dengan syarikat sehingga akhir Oktober untuk mengendalikan proses kawal selia dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Selain itu, sekitar 30 pekerja akan terus bertugas sehingga akhir Disember bagi membantu dalam proses penutupan pejabat dan tugas pentadbiran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg