Kumpulan Singapore Airlines (SIA) akan mewujudkan jawatan bagi pekerja Jetstar Asia yang diberhentikan di seluruh syarikat penerbangannya, termasuk 100 pekerjaan untuk juruterbang dan 200 pekerjaan bagi kru kabin.
Dalam satu kenyataan pada 13 Jun, jurucakap syarikat itu berkata matlamatnya adalah untuk menyokong seramai mungkin kakitangan yang terjejas dalam meneruskan kerjaya mereka dalam sektor penerbangan.
Lebih 500 pekerja akan diberhentikan daripada Jetstar Asia berikutan penutupannya pada 31 Julai, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu pada 11 Jun dalam satu kenyataan mengumumkan penutupannya.
Kumpulan SIA telah bekerjasama rapat dengan Jetstar Asia sejak hari pengumuman penutupan untuk meneroka peluang pekerjaan bagi pekerja yang terjejas, kata jurucakap itu.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, wakil dari SIA dan Scoot akan berada di pejabat Jetstar Asia dari 17 hingga 19 Jun untuk bertemu pekerja yang berminat dan bercakap lebih lanjut mengenai peranan yang boleh didapati, tambahnya
“Kami memahami bahawa ini adalah masa yang tidak menentu dan komited untuk menyediakan sokongan yang diperlukan untuk membantu menjadikan proses pengambilan dan penyelarasan selancar mungkin,” kata jurucakap itu.
“Kami menghargai pengalaman yang dibawa oleh pekerja Jetstar Asia, dan kami berharap dapat mengalu-alukan calon yang berjaya ke dalam Kumpulan SIA,” tambah beliau.
Usaha menempatkan pekerja yang diberhentikan diumumkan pada hari penutupan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Encik Ng Chee Meng sebelum ini berkata bahawa pihaknya sedang meneroka memadankan pekerja Jetstar Asia dengan Kumpulan SIA.
Kumpulan SIA kemudian berkata ia telah menyediakan saluran khusus bagi pekerja yang diberhentikan bagi mempercepatkan permohonan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg