Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO SIA nasihatkan kakitangan agar berehat, ucap terima kasih

May 27, 2024 | 4:42 PM
Pesawat SQ321 yang mengalami gelora udara ekstrem, diterbangkan kembali ke Singapura pada 26 Mei.
Pesawat SQ321 yang mengalami gelora udara ekstrem, diterbangkan kembali ke Singapura pada 26 Mei. - Foto ST

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), Encik Goh Choon Phong, yang berada di barisan depan dalam menguruskan kesan daripada fenomena gelora udara pada 21 Mei yang ditempuh pesawat SQ321, mengucapkan terima kasih kepada kakitangannya.

Beliau juga sedia maklum mengenai kebimbangan yang dirasai ramai daripada mereka.

Dalam satu mesej kepada kakitangan yang diedarkan pada 26 Mei, iaitu hari sama pesawat Boeing B777-ER yang terjejas itu diterbangkan kembali ke Singapura, Encik Goh menasihatkan mereka untuk berehat secukupnya dan meluangkan masa bersama orang kesayangan, lapor The Straits Times (ST).

“Lima hari yang lalu amat mencabar bagi semua di Singapore Airlines berikutan (insiden) gelora udara ekstrem yang ditempuh oleh mereka yang berada dalam pesawat SQ321 di Lembangan Irrawaddy pada Selasa, 21 Mei, yang malangnya mengakibatkan seorang (penumpang) maut dan ramai cedera,” tulisnya.

“Saya mengucapkan takziah setulus hati kepada keluarga (penumpang) yang meninggal dunia.”

“Ketangkasan, dedikasi dan semangat berpasukan kami jelas kelihatan dalam tempoh ini.

“Pasukan pengurusan krisis berpangkalan di Singapura terus bertindak, manakala stesen kami di Bangkok dan rakan kongsi tempatannya mengerahkan semua sumber dan pasukan perubatan yang ada untuk menerima pesawat itu.

“Satu pasukan Go-Team, termasuk pihak bertindak pertama dan sukarelawan kakitangan dari Singapura, dihantar segera ke Bangkok untuk memberi sokongan tambahan,” jelasnya.

Pesawat SQ321 mengalami gelora udara ekstrem di Myanmar setelah berlepas dari London ke Singapura pada 4.45 petang, 21 Mei.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat itu ke lapangan terbang di Bangkok.

Kejadian tersebut mengakibatkan seorang lelaki meninggal dunia dan puluhan lain cedera.

Ramai penumpang masih dirawat di hospital di Bangkok.

Encik Goh, yang turut berada di Bangkok untuk melawat penumpang yang cedera, berkata seramai 131 penumpang dan 12 kru selamat tiba di Singapura pada 22 Mei dalam satu pesawat bantuan.

“Berpuluh-puluh kakitangan kami, bersama rakan kongsi di lapangan terbang kita di Singapura, berada di sana untuk membantu mereka dan memudahkan pelepasan yang lancar, dan perjalanan mereka yang seterusnya ke rumah, hotel atau penerbangan sambungan,” katanya.

Di Bangkok, wakil khidmat pelanggan sukarelawan kami dari seluruh dunia memberi sokongan langsung kepada mereka yang berada di hospital, serta keluarga dan orang tersayang mereka, tambahnya.

“Pada masa sama, sedang kami terus memberi penjagaan rapi kepada penumpang dan kru yang terjejas, jagalah diri dan kesihatan anda.

Beliau menasihatkan kakitangannya:

“Kesejahteraan fizikal dan mental anda amat penting. Apabila berkesempatan, berehatlah dan luangkan masa bersama orang tersayang.”

Beliau turut menasihatkan kakitangan yang memerlukan bantuan tambahan untuk menghubungi pengurus mereka, atau menggunakan sumber dalaman SIA.

“Kesejahteraan fizikal dan mental anda amat penting. Apabila berkesempatan, berehatlah dan luangkan masa bersama orang tersayang.”
Encik Goh Choon Phong, CEO SIA, dalam mesej kepada kakitangan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg