Pesawat Singapore Airlines (SIA), SQ 321 yang mengalami gelora udara ekstrem pada 21 Mei hingga mengakibatkan seorang penumpang maut dan puluhan lain cedera, kembali ke Singapura pada 26 Mei selepas dibenarkan berlepas.
Menjawab pertanyaan Berita Harian, jurucakap SIA berkata pesawat 9V-SWM, yang merupakan Boeing 777-300ER, telah diterbangkan pulang dari Bangkok pada 26 Mei dan mendarat di sini pada 1.39 petang.
Menurut khidmat menjejaki penerbangan, Flightradar24, pesawat tersebut telah berlepas dari Bangkok pada 10.49 pagi waktu tempatan.
Memberi butiran lebih lanjut, jurucakap itu berkata:
“SIA telah mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa yang relevan di Singapura dan Thailand, para penyiasat serta syarikat pengeluar pesawat, dan pesawat itu telah mendapat kebenaran daripada pasukan Kejuruteraan dan Operasi Penerbangan kami, sebelum berlepas.”
Jurucakap itu menambah bahawa SIA telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam siasatan kejadian ini.
SIA berkata pada 26 Mei bahawa ia sedang berhubungan dengan penumpang dan anak kapal yang menaiki SQ321, termasuk mereka yang masih lagi di Bangkok.
“Sekiranya ada yang minta, kami akan mengaturkan perjalanan ke Bangkok untuk keluarga dan orang tersayang mereka,” tambah SIA.
Dalam pada itu, seramai 41 penumpang masih dirawat di tiga hospital di Bangkok, menurut Hospital Samitivej Srinakarin pada 26 Mei.
SQ321 mengalami gelora udara ekstrem pada 21 Mei di Lembangan Irrawaddy di Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London ke Singapura.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3.45 petang (4.45 petang waktu Singapura).
Penumpang SQ321 termasuk 41 warga Singapura, dengan baki 170 dari negara seperti Australia, Malaysia, New Zealand dan Britain.
Penumpang yang maut dikenal pasti sebagai warga Britain berusia 73 tahun, Encik Geoff Kitchen. Beliau seorang karyawan insurans bersara dan pengarah teater muzikal pada masa kematiannya, menurut laporan media British.
Bapa kepada dua anak dan isterinya, yang turut dalam penerbangan dan kemudian dibawa ke hospital, sedang dalam perjalanan bercuti selama enam minggu dan berhasrat melawat Singapura, Indonesia, Jepun dan Australia.
Seramai 40 penumpang dan seorang anak kapal sedang menerima rawatan di hospital, menurut SIA pada 26 Mei. Syarikat penerbangan itu berkata 53 orang dalam penerbangan itu, termasuk anak kapal, masih berada di Bangkok.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg