JAKARTA: Kewartawanan yang dipercayai akan menjadi semakin penting sedang perniagaan, pelabur dan pemerintah berdepan perubahan yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), peralihan perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit.

Dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Ekonomi Asia di Jakarta pada 17 Jun, Encik Chan berkata Asia Tenggara kini berada di pusat perubahan sejagat yang besar, termasuk penyusunan semula rantaian bekalan, perubahan hubungan perdagangan dan perkembangan pesat AI. 

Dengan penduduk hampir 700 juta orang serta beberapa ekonomi yang berkembang dengan pesat di dunia, Asia Tenggara semakin dibentuk oleh perubahan pantas dalam perdagangan, teknologi dan geopolitik, katanya.

Dalam persekitaran sedemikian, akses kepada maklumat dan analisis yang boleh dipercayai akan menjadi amat penting, tambah Encik Chan.

“Kebolehan perniagaan, pelabur dan pasaran untuk membuat keputusan tepat bukan hanya bergantung kepada akses maklumat, malah, akses kepada maklumat yang betul dan ditafsir mengikut konteks,” jelasnya.

Encik Chan berkata AI sedang memampatkan “perubahan teknologi yang mengambil masa berabad-abad kepada hanya beberapa tahun”, lalu mewujudkan peluang dan cabaran baharu kepada pemerintah dan perniagaan. 

Kelajuan penggunaan teknologi tersebut di rantau ini mencerminkan transformasi itu.

Satu kajian pada Februari oleh syarikat media teknologi, Tech in Asia, firma perunding McKinsey, dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura mendapati penggunaan AI di Asia Tenggara sudah mengatasi purata sejagat.

Tinjauan ke atas 330 syarikat menunjukkan 73 peratus sudah berada pada peringkat percubaan atau penskalaan, berbanding purata sejagat sebanyak 57 peratus.

“Persoalannya bukan sama ada perubahan akan tiba... Persoalannya ialah sama ada kita akan mengawal hala tuju kita, atau membiarkan diri dihanyutkan oleh arus perubahan,” ujar Encik Chan. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di sidang kemuncak tersebut di Fairmont Jakarta yang dianjurkan oleh Tech in Asia dan disokong oleh akhbar SPH Media iaitu Lianhe Zaobao dan The Business Times (BT).

Acara itu menghimpunkan sekitar 250 peserta, termasuk pegawai kanan pemerintah, pemimpin korporat, pelabur dan eksekutif teknologi.

“Edisi tahun ini (2026) mencerminkan keperluan yang semakin meningkat bagi negara Asia Tenggara untuk memperkukuh penyelarasan dalam menangani cabaran sejagat, merangkumi daya tahan ekonomi dan pembangunan prasarana AI hingga aliran modal dan kerjasama serantau dalam keadaan ketidaktentuan sejagat yang berterusan,” kata Ketua Keseluruhan yang juga Ketua Editor, Tech in Asia, Encik Terence Lee.