SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

SPH Media, Google jalin kerjasama perkukuh kewartawanan

SPH Media, Google jalin kerjasama perkukuh kewartawanan

Apr 17, 2026 | 4:02 PM

SPH Media, Google jalin kerjasama perkukuh kewartawanan

SPH Media, Google, kerjasama AI, kewartawanan Singapura, GenAI bilik berita, Program Inkubator Berita, Kuek Yu Chuang, teknologi media.
Pengarah Urusan Google Singapura, Encik Ben King (kiri), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, dalam majlis pengumuman perkongsian tersebut pada 17 April. - Foto ZAOBAO

SPH Media dan syarikat teknologi Google mengumumkan perkongsian strategik empat bidang melibatkan pembinaan keupayaan kecerdasan buatan (AI); kandungan dan pengedaran; pembangunan bakat; dan penglibatan audiens.

Dalam satu kenyataan media bersama pada 17 April, kedua-dua pihak berkata perkongsian itu berpaksi pada keutamaan bersama dan direka untuk memberikan nilai berterusan.

Ia menumpukan perhatian kepada empat bidang utama yang saling melengkapi dan mencerminkan keutamaan yang dikongsi.

Menjelaskan kerjasama itu, kedua-dua syarikat akan memperkasakan bilik berita SPH Media dengan AI canggih, termasuk latihan GenAI untuk penyelidikan penyiasatan dan pengesahan bilik berita.

“Ini akan memudahkan pelaksanaan aliran kerja dengan AI serta penggunaan AI secara bertanggungjawab di bilik berita.

“Usaha ini akan memperkukuh kewibawaan editorial sambil memacu kecekapan yang lebih tinggi melalui teknologi,” kata kenyataan itu.

SPH Media ialah satu-satunya pertubuhan media di Singapura yang menjalin kerjasama seumpama itu dengan Google.

Organisasi berita terkemuka lain yang pernah menubuhkan kerjasama serupa sebelum ini termasuk majalah berita Jerman, Der Spiegel; akhbar Amerika Syarikat, The Washington Post; dan akhbar harian Britain, The Guardian.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, berkata:

“Sebagai penerbit berita terbesar, paling dipercayai dan paling banyak menerima anugerah di Singapura, SPH Media sentiasa mencari rakan kerjasama inovatif untuk memajukan misinya.

“Perkongsian ini akan memastikan kewartawanan bermutu SPH Media dipertingkatkan dengan teknologi terbaik, penggunaan AI yang bertanggungjawab, serta penglibatan yang lebih baik dan meluas dengan audiens.”

Kerjasama itu akan melahirkan Program Inkubator Berita yang baharu, memupuk bakat kewartawanan muda tempatan, dan membina rangkaian pencipta kandungan berita yang mampan.

Ia juga akan membentuk masyarakat celik AI yang menyokong pengukuhan berita, melahirkan wartawan dan pencipta kandungan yang sedia masa hadapan, sambil mengekalkan piawaian editorial yang utuh.

Kerjasama itu turut memastikan kandungan SPH Media mencapai audiens yang lebih luas dan segera, memandangkan penyepadian dengan saluran pengedaran Google akan diperkukuh.

Format pengiklanan baharu juga akan dirangka bagi mendekati audiens baharu dan mendalami penglibatan mereka.

Berita dan kandungan SPH Media juga akan memperkukuh kebolehpercayaan hasil carian Google, khususnya bagi laporan berita atau perspektif yang unik bagi Singapura.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg