Lapangan Terbang Changi akan mempergiat usaha mewujudkan penerbangan langsung ke destinasi baharu sepanjang sedekad akan datang sebagai persediaan menjelang siapnya Terminal 5 (T5) pada pertengahan dekad 2030-an.

Antara bandar yang dikenal pasti ialah Banda Aceh dan Banjarmasin di Indonesia; Hai Phong dan Da Lat di Vietnam; Almaty di Kazakhstan; serta Tashkent di Uzbekistan.

Menurut Naib Presiden Eksekutif, Hab Penerbangan dan Pembangunan Kargo Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), Encik Lim Ching Kiat, kebanyakan laluan baharu itu akan tertumpu di rantau Asia Pasifik, yang dijangka menyumbang sebahagian besar pertumbuhan trafik penumpang sepanjang sedekad akan datang.

Encik Lim menyifatkan bandar itu sebagai “titik putih” yang masih kurang mempunyai hubungan penerbangan dengan Singapura.

Namun, ia bakal menjana permintaan tinggi bagi perjalanan perniagaan, percutian atau kedua-duanya, terutama jika ia merupakan ibu negeri wilayah yang berpenduduk ramai serta mempunyai kuasa beli yang tinggi.

Destinasi lain yang sedang diusahakan termasuk Urumqi dan Hohhot di China; serta Lucknow dan Jaipur di India.

Kini, 85 peratus penerbangan Lapangan Terbang Changi adalah ke destinasi Asia-Pasifik.

Beliau turut berkata CAG mahu membina hubungan dengan negara-negara di Eropah Tengah dan Timur, yang masih belum mempunyai penerbangan langsung ke Singapura.

Selain membuka laluan baharu, lapangan terbang itu juga merancang meningkatkan kekerapan penerbangan ke destinasi semasa seperti Nadi di Fiji, Paro di Bhutan dan Noumea di New Caledonia.

Mengenai prestasi CAG pada 2026, Encik Lim berkata pertumbuhan trafik penumpang menjadi lebih sederhana antara April dengan Jun selepas tercetusnya konflik di Timur Tengah.

Pada suku pertama 2026, CAG mencatat 17.6 juta penumpang, meningkat 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025, namun jumlah penumpang pada April turun 0.9 peratus dan Mei turun 2.4 peratus.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk meramalkan prestasi sepanjang tahun, tetapi CAG akan berusaha mencapai pertumbuhan lebih kukuh berbanding 2025.

Walaupun kenaikan harga bahan api akibat gangguan di Selat Hormuz meningkatkan kos operasi, CAG bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk mengurangkan kos operasi lain, termasuk memendekkan tempoh pusing ganti pesawat, mendapatkan jadual penerbangan yang sesuai dan memasarkan laluan baharu.

Menurut Encik Lim, pertempuran di Timur Tengah turut menunjukkan pentingnya memperluas sumber trafik dan kerjasama dengan syarikat penerbangan.

Penerbangan melalui Addis Ababa di Habsyah dan Istanbul di Turkey, misalnya, menjadi laluan lain apabila ruang udara di Timur Tengah ditutup.

T5 dijangka siap pada pertengahan dekad 2030-an dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Changi kepada 140 juta penumpang setahun, berbanding 90 juta ketika ini.

Bersama pembangunan Changi East, projek itu hampir menggandakan saiz lapangan terbang tersebut.

Dalam jangka panjang, CAG menganggarkan lebih banyak sambungan ke Afrika selaras dengan pertumbuhan ekonominya.

Lapangan terbang itu juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan ke Riyadh di Arab Saudi.

Apabila teknologi penerbangan jarak jauh semakin maju, Encik Lim berkata keutamaan seterusnya ialah penerbangan langsung ke lebih banyak bandar di Amerika Syarikat seperti Boston dan Chicago, selain Toronto dan Canada, sebelum mempertimbangkan penerbangan tanpa henti ke Amerika Selatan.

Tempoh transit di Changi juga semakin panjang, dengan lebih separuh penumpang transit singgah sekurang-kurangnya tiga jam.

Encik Lim mengaitkan trend itu dengan corak perjalanan yang semakin matang apabila lebih ramai penumpang memilih bandar baharu dan bukan utama yang mempunyai kekerapan penerbangan lebih rendah.

Bagi penumpang yang mempunyai masa transit sekurang-kurangnya lima setengah jam di Changi, CAG kini menyediakan lebih banyak lawatan bandar percuma dan menambah destinasi lawatan.

Encik Lim menegaskan, pembukaan laluan baharu bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada usaha berterusan untuk mengembangkan rangkaian penerbangan CAG.