Changi Travel Services (CTS) memaklumkan pada 21 Ogos bahawa seramai 30 kakitangan akan diberhentikan susulan proses penyusunan semula berterusan bagi menangani perubahan pasaran.
Kakitangan terjejas akan menerima pakej pampasan empat minggu bagi setiap tahun mereka berkhidmat, tanpa had tempoh perkhidmatan minimum.
“Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan teliti dan bertujuan mengukuhkan kedudukan CTS serta memastikan pertumbuhan mampan.
“Kami komited menyokong kakitangan terjejas sepanjang tempoh peralihan ini, termasuk bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk mengenal pasti peranan sesuai di Lapangan Terbang Changi dan lokasi lain,” kata jurucakap syarikat.
CTS merupakan anak syarikat Changi Airport Group (CAG) yang menyediakan perkhidmatan pertukaran asing dan lain-lain kepada pelancong.
Syarikat itu tidak menyatakan segmen perniagaan yang terjejas atau jenis perubahan pasaran yang membawa kepada langkah pemberhentian pekerja itu, lapor The Straits Times (ST).
Jurucakap itu menambah, CTS kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi bagi memastikan pertumbuhan mampan syarikat, selepas proses penyusunan semula itu.
Presiden Kesatuan Sekerja Tarikan, Resort & Hiburan (AREU) yang bernaung di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Azman Osman, berkata pada 21 Ogos bahawa CTS bukan syarikat berkesatuan.
Namun, beliau menambah:
“Dalam langkah pemberhentian pekerja apabila terdapat ahli kesatuan bekerja di syarikat bukan berkesatuan, kesatuan atau persatuan bernaung di bawah NTUC akan memberikan bantuan kepada mereka, jika mereka terjejas dengan langkah tersebut.”
Kesatuan itu akan memberikan bantuan dan sokongan kepada mana-mana ahli kesatuan yang terjejas, termasuk menghubungkan mereka dengan rangkaian seperti Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC.
Ahli kesatuan yang layak juga boleh memanfaatkan Program Bantuan Latihan Kesatuan (Utap) untuk menampung kos latihan sekiranya mereka ingin mempertingkatkan kemahiran.
Menurut Encik Azman, secara umumnya, rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) boleh memanfaatkan perkhidmatan pemadanan kerja, bimbingan kerjaya, dan nasihat peningkatan kemahiran daripada e2i.
Kakitangan terjejas yang merupakan rakyat Singapura juga boleh mendapat sokongan pekerjaan tambahan melalui Skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture dengan menyertai program pencarian kerja e2i, tambah beliau.
Skim itu menyediakan sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 bagi tempoh maksimum enam bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan tanpa pilihan.
“Skim ini bertujuan meningkatkan peluang mencari pekerjaan yang lebih sesuai dengan kemahiran dan pengalaman pencari kerja,” kata Encik Azman.
Beliau juga menggesa ahli kesatuan dan pekerja terjejas supaya menghubungi AREU bagi mendapatkan bantuan melalui e-mel di areu@ntuc.org.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg