SPH Media memberhentikan 11 kakitangan bahagian penerbitan susulan pemberhentian penggunaan dua mesin cetak yang telah digunakan selama 30 tahun dan telah mencapai penghujung jangka hayat operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, mengumumkan langkah pemberhentian kerja tersebut menerusi e-mel kepada kakitangan pada 22 Julai.
Menurutnya, langkah itu adalah hasil semakan operasi yang sedang dijalankan sejajar dengan usaha transformasi syarikat dan bukan disebabkan penyusunan semula besar-besaran atau langkah penjimatan kos.
Pekerja terjejas – termasuk mereka yang mengendalikan dua daripada enam mesin cetak syarikat serta yang terlibat dalam pengedaran akhbar – telah dimaklumkan pada 22 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Mesin cetak, Colorliner keluaran Manroland Goss Web Systems, yang telah beroperasi sejak 1996 akan dihentikan operasinya.
Kerja pencetakan akan dilakukan dengan menggunakan empat mesin cetak, Commander keluaran Koenig & Bauer (KBA).
Mesin KBA yang lebih baru dan telah digunakan sejak 2003 itu mampu mencetak sehingga 56 halaman terbitan lebar sehelai atau broadsheet berwarna penuh dan sehingga 72,000 naskhah akhbar sejam.
Ini melebihi keupayaan mesin Colorliner yang hanya boleh mencetak 40 halaman berwarna penuh bagi setiap naskhah pada kadar yang sama.
Menjawab pertanyaan ST, jurucakap SPH Media berkata penaiktarafan mesin cetak KBA membolehkan syarikat menyepadukan operasi percetakan hariannya menggunakan mesin yang lebih baru itu.
“Perubahan ini membolehkan kami mengekalkan mutu pencetakan serta meningkatkan kecekapan proses.
“Namun, malangnya perubahan ini turut menyebabkan 11 peranan pekerja dalam bahagian penerbitan SPH Media dikurangkan,” katanya.
Beliau menambah bahawa SPH Media telah meneliti peluang penempatan semula bagi kakitangan terjejas, namun tidak berjaya mendapatkan peranan yang sesuai buat mereka.
SPH Media telah memaklumkan kesatuan sekerja dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) mengenai langkah pemberhentian tersebut dan komited untuk menyokong mereka yang terjejas sepanjang tempoh peralihan ini.
Ini dilakukan “melalui pakej pampasan yang menyeluruh mengikut garis panduan jawatankuasa tiga pihak, menawarkan bimbingan kerjaya, bantuan penempatan pekerjaan, perkhidmatan penambahbaikan resume, serta sokongan emosi menerusi kaunseling profesional”.
Dalam e-melnya, Encik Chan turut berkata SPH perlu terus menjalankan semakan ke atas pelbagai bahagian syarikat, berdasarkan keperluan.
Semakan ini penting bagi memastikan operasi syarikat kekal relevan, sejajar dengan kemajuan teknologi serta perubahan keutamaan pelanggan, katanya.
SPH Media pada 22 Julai menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kemampuan dalam menyampaikan kandungan kepada audiens melalui kedua-dua wadah media cetak dan digital, selain terus melabur dalam operasi media yang mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg