Polis akan melancarkan chatbot kecerdasan buatan (AI) untuk membantu orang awam membuat laporan polis secara lebih jelas dan khusus bagi menjimatkan masa.
Report Lodging Co-Pilot (R-Cop) ialah sistem berasaskan AI yang akan dilaksanakan mulai 1 Oktober, di sembilan kios bantu diri di tujuh ibu pejabat divisyen polis, lapor The Straits Times (ST).
Tiga kios R-Cop terletak di Ibu Pejabat Divisyen Woodlands.
Enam ibu pejabat divisyen lain – Ang Mo Kio, Bedok, Central, Clementi, Jurong dan Tanglin – masing-masing akan mempunyai satu kios dengan sistem R-Cop
Orang awam boleh log masuk dengan Singpass di kios tersebut dan diberi pilihan untuk menggunakan R-Cop untuk membuat laporan atau melakukannya secara digital tanpa menggunakan chatbot.
Jika mereka memilih untuk tidak menggunakan R-Cop, mereka akan diminta untuk memberikan penerangan mengenai kejadian atau kesalahan yang ingin dilaporkan.
Sistem itu hanya meminta maklumat asas seperti butiran hubungan, tetapi ini mungkin menyebabkan mereka terlepas untuk menyertakan butiran penting seperti nombor telefon.
Pegawai penyiasat kemudian mungkin perlu membuat panggilan susulan untuk mendapatkan maklumat lanjut, yang akan mengambil masa tambahan bagi kedua-dua pihak, iaitu orang awam dan polis.
Dengan R-Cop, penerangan yang diberikan akan disemak AI untuk mengenal pasti jenis kejadian dan maklumat penting atau berguna yang mungkin terlepas.
Chatbot kemudian akan meminta individu tersebut memberikan butiran relevan.
Jika kes itu melibatkan penipuan, R-Cop mungkin akan meminta butiran seperti nombor akaun bank dan nombor telefon.
Jika ia mengenai kejadian langgar lari, ia mungkin akan meminta butiran seperti plat nombor lesen dan kerosakan yang berlaku.
Setelah maklumat itu dikumpulkan, R-Cop akan menghasilkan draf laporan untuk semakan dan penyuntingan sebelum dihantar.
Semua data yang dimuat naik akan disimpan dengan selamat di pelayan, atau server, pemerintah.
Menurut polis, data itu dilindungi mengikut keperluan keselamatan siber dan keselamatan data sektor awam.
Di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), organisasi mesti memastikan data pelanggan dan pengguna mereka dilindungi.
Ini termasuk mempunyai sistem keselamatan siber yang sesuai untuk mengesan kegiatan mencurigakan dan mencegah akses tidak sah.
Organisasi yang gagal dalam kewajipan mereka boleh dikenakan denda, seperti Persatuan Pengguna Singapura (Case) yang dikenakan denda sebanyak $20,000 pada 2024.
Secara berasingan, terdapat juga Akta Tadbir Urus Sektor Awam.
Undang-undang ini lebih ketat dan pegawai awam yang didapati bersalah atas kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga $5,000 dan dihukum penjara sehingga dua tahun.
Ujian ST ke atas R-Cop mendapati ia memahami sebutan dan ungkapan tempatan, lalu menghasilkan laporan dalam bahasa Inggeris yang jelas mengikut susunan kronologi.
Penolong Superintendan Polis Alden Tan dari jabatan operasi polis berkata:
“Dengan R-Cop, polis berharap dapat memperbaiki pengalaman membuat laporan dan memastikan maklumat kritikal diperoleh lebih awal, mengurangkan panggilan susulan.”
Chatbot itu, yang kini hanya tersedia dalam bahasa Inggeris, dibangunkan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).
Ia pertama kali diumumkan di Seminar Pelan Kerja Polis 2024.
Polis berkata seperti mana-mana sistem AI, terdapat kemungkinan adanya ketidaktepatan atau tindak balas tidak dijangka.
Untuk mengurangkan hal itu, polis dan HTX telah menjalankan ujian teliti.
Pengguna R-Cop dinasihatkan supaya menyemak ringkasan yang dijana sebelum menghantar laporan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg