Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chee Hean dilantik pengerusi baru Temasek

Jun 6, 2025 | 6:11 PM
Temasek, Teo Chee Hean, pengerusi
Mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, akan menyertai Lembaga Pengarah Temasek sebagai Timbalan Pengerusi pada 1 Julai, sebelum mengambil alih jawatan pengerusi pada Oktober. - Foto fail ST

Mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, akan menjadi pengerusi baru Temasek Holdings pada 9 Oktober 2025, menggantikan Encik Lim Boon Heng.

Encik Teo akan mula menyertai Lembaga Pengarah Temasek sebagai Timbalan Pengerusi pada 1 Julai, sebelum mengambil alih jawatan Pengerusi pada Oktober.

Encik Lim telah berkhidmat sebagai Pengerusi selama 12 tahun dan memimpin pengembangan global Temasek serta menyokong usaha melawan pandemik Covid-19, selain usaha dalam tadbir urus korporat dan kemampanan, lapor The Straits Times (ST).

Dalam satu kenyataan berasingan, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata:

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Encik Lim atas khidmat cemerlangnya di Temasek – di bawah pimpinannya, Temasek telah mengembangkan kehadiran globalnya, memperkukuh proses tadbir urus dan menjadikannya pemimpin dalam pembangunan mampan.”

“Saya mengalu-alukan Encik Teo sebagai pengerusi yang akan datang.

“Dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan pemahaman keutamaan Singapura, saya yakin beliau akan memperkukuh asas Temasek dan memimpin kejayaannya dalam persekitaran global yang semakin kompleks,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek, Encik Dilhan Pillay Sandrasegara, berkata: “Saya gembira menyambut Encik Teo sebagai pengerusi kelima kami. Kami berasa bertuah Temasek dapat memanfaatkan pengalaman luas beliau dan menantikan kepimpinannya dalam menghadapi peluang dan cabaran yang akan datang.”

Encik Teo, tokoh utama dalam kepimpinan generasi ketiga Singapura, telah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dari 2009 hingga 2019 dan sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dari 2011.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kanan pada 2019.

Beliau memulakan kerjaya dalam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) pada 1972 dan dinaikkan pangkat sebagai Panglima Tentera Laut sebelum meninggalkan RSN pada 1992 untuk menceburi bidang politik.

Peranan pertama beliau dalam Kabinet adalah sebagai Menteri Negara (Kewangan merangkap Perhubungan).

Beliau kemudian memegang portfolio Menteri di Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Pertahanan, Pendidikan, dan Alam Sekitar.

Temasek turut mengumumkan pada 6 Jun bahawa Encik Cheng Wai Keung, Encik Stephen Lee dan Encik Bobby Chin akan bersara daripada Lembaga Pengarah dalam beberapa bulan akan datang.

Temasek mencatatkan nilai portfolio bersih sebanyak $389 bilion pada 21 Mac 2024.

Ia merupakan penyumbang utama kepada Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC), bersama dengan dana pelaburan milik pemerintah, GIC dan bank pusat Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang digunakan untuk perbelanjaan pemerintah.

Encik Teo menyatakan bahawa dalam “era ketidaktentuan global yang semakin rumit”, Temasek perlu terus fokus pada perkara-perkara kritikal seperti hubungan antarabangsa, keselamatan, dan perubahan iklim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg