Singapura tidak lagi akan berada dalam keadaan tidak bersedia untuk mempertahankan negara dan keluarga dan setiap warga berperanan berbuat demikian, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, berkata demikian dalam ucapannya di upacara Peringatan Perang ke-58 - untuk memperingati rakyat yang terbunuh semasa Perang Dunia Kedua - di Taman Tugu Peringatan Perang pada 15 Februari.
Upacara itu diadakan sempena ulang tahun ke-83 kejatuhan Singapura kepada Jepun pada 15 Februari 1942, apabila tentera Britain di Singapura menyerah kalah. Ia juga diadakan sempena Hari Pertahanan Mutlak.
Tugu peringatan yang dibina oleh Dewan Perdagangan Cina Singapura (SCCC), dengan mengumpul dana daripada semua kumpulan etnik di Singapura menunjukkan setiap warga boleh memainkan peranan mempertahan negara, kata Encik Teo.
SCCC kini telah berubah nama menjadi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI).
“Setiap kumpulan etnik bersatu untuk memperingati tragedi yang menjejas kita semua, tidak kira bangsa atau agama. Empat tiang yang membentuk tugu ini mewakili setiap kumpulan kaum utama yang berdiri bersama,” ujar Encik Teo.
Lebih 400 tetamu menghadiri upacara tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg