Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chee Meng: NTUC teroka peluang pekerja Jetstar dipadankan dalam SIA

Jun 11, 2025 | 6:26 PM
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng. - Foto ZAOBAO

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sedang meneroka peluang untuk memadankan kakitangan Jetstar Asia yang telah dibuang kerja dengan peranan sesuai dalam Kumpulan Singapore Airlines (SIA), kata Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.

Ini termasuk bagi kakitangan korporat dan kru.

Kluster Aeroangkasa dan Penerbangan NTUC juga akan bekerjasama dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) untuk mengenal pasti peluang bagi pekerja yang terjejas.

Jetstar Asia mengumumkan pada 11 Jun bahawa ia akan berhenti beroperasi mulai 31 Julai susulan cabaran yang dihadapi, mengancam kemampanan perniagaannya.

Penutupan syarikat penerbangan tambang murah itu akan menjejas lebih 500 kakitangannya yang terpaksa dibuang kerja.

Dalam satu catatan di media sosial, Encik Ng berkongsi bahawa bermula minggu depan, NTUC dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) akan berada di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi untuk menyediakan sokongan secara langsung, termasuk bimbingan kerjaya, peningkatan kemahiran dan bantuan kebolehkerjaan kepada kakitangan terjejas.

“Tumpuan kami kekal pada melakukan semua yang kami mampu untuk membantu pekerja berdikari dan bergerak ke hadapan dengan yakin. Peralihan tidak pernah mudah, tetapi pekerja tidak akan melaluinya sendirian,” kata Encik Ng.

Beliau juga mendedahkan bahawa NTUC dan Kesatuan Pekerja Buruh dan Perdagangan Singapura (SMMWU), yang menjaga kebajikan kakitangan Jetstar Asia, telah diberitahu awal tentang pembuangan kerja itu.

Sejak itu, SMMWU telah bekerjasama rapat dengan Jetstar Asia untuk menyokong kakitangannya.

“Pampasan pemberhentian kerja yang diberikan adalah sejajar dengan Nasihat Tiga Pihak mengenai Menguruskan Lebihan Tenaga Manusia dan Pemberhentian Bertanggungjawab.

“Namun, sokongan adalah lebih daripada setakat pampasan kewangan,” tambah Encik Ng.

Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan, SMMWU berkata ia telah bekerjasama dengan pihak pengurusan Jetstar Asia untuk memastikan pekerja terjejas “dilayan dengan berhati-hati dan menerima pampasan yang adil.”

Kenyataan itu juga berkata warga dan penduduk tetap Singapura boleh memanfaatkan khidmat pemadanan pekerjaan, bimbingan kerjaya dan nasihat peningkatan kemahiran e2i.

Mereka yang terjejas dan mahu mencari kerja dan menyertai aktiviti pencarian kerja e2i juga boleh menerima lebih banyak sokongan pekerjaan melalui skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture yang menyediakan sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh 6 bulan.

Skim itu berfungsi untuk menyokong individu yang menganggur secara sukarela dengan meningkatkan peluang mereka untuk mencari pekerjaan yang memanfaatkan kemahiran dan pengalaman mereka dengan lebih baik.

“SMMWU tetap berdedikasi menyokong ahli dan pekerja melalui peralihan yang sukar ini dengan menyediakan bantuan penempatan kerja dan khidmat nasihat kerjaya merentas pelbagai industri dan bantuan kewangan, jika perlu,” kata Encik Andy Lim, Setiausaha Agung SMMWU.

“Tumpuan kami kekal pada melakukan semua yang kami mampu untuk membantu pekerja berdikari dan bergerak ke hadapan dengan yakin. Peralihan tidak pernah mudah, tetapi pekerja tidak akan melaluinya sendirian.”
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg