Kumpulan kerja baru yang ditubuh pemerintah akan membantu pekerja platform yang berdepan dengan cabaran, mencari huraian yang menguntungkan semua pihak.
Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.
Menyusuli satu pertemuan dengan golongan itu pada 4 Julai, Encik Ng berkata mereka telah membangkitkan beberapa kebimbangan.
Walaupun kebimbangan itu bukan perkara baru, ia “semakin mendesak” dan beliau mengakui lebih banyak lagi “mesti dilakukan, dan dengan segera”.
Ini termasuk kebimbangan berhubung sesetengah warga asing yang dipercayai mungkin melakukan kerja penghantaran secara haram yang sekali gus menjejas pendapatan dan peluang pekerja penghantaran yang sah di Singapura.
Dalam hantaran di Facebook pada 4 Julai, Encik Ng yang mengusulkan pembentukan kumpulan yang terdiri daripada NTUC, persatuan gabungannya, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu, berkata:
“Pagi ini, saya bertemu dengan pekerja platform. Ramai berkongsi kebimbangan yang sukar, kehidupan sebenar, daripada pendapatan yang tidak menentu dan perkhidmatan membawa penumpang yang tidak sah kepada persaingan pekerjaan daripada bukan warga Singapura.
“Kami juga menerima maklum balas bahawa sesetengah warga asing mungkin melakukan kerja penghantaran secara haram. Ada yang menyalahgunakan akaun di platform, manakala yang lain mengambil tugasan daripada syarikat penyumberan luar walaupun mereka tidak memegang permit kerja yang sah,” kata Encik Ng.
Memandangkan platform menggunakan struktur tambang dinamik dan insentif, Encik Ng berkata pekerja tidak tahu bagaimana tugasan diperuntukkan atau berapa banyak yang mereka akan peroleh, dan selalunya bekerja lebih lama hanya untuk membawa pulang gaji yang sama.
Beliau turut menekankan bagaimana perkhidmatan membawa penumpang haram pada aplikasi seperti Telegram terus menjejas pendapatan pemandu dan penunggang berlesen, sekali gus menyukarkan pekerja platform memperoleh pendapatan stabil untuk menyara diri dan keluarga mereka.
Memberi jaminan kepada pekerja platform, Encik Ng, yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Jalan Kayu, berkata:
“Kepada setiap penunggang dan pemandu yang hadir hari ini dan berkongsi cerita anda, terima kasih.
“Suara anda menguatkan perjuangan kami, dan kami akan memperjuangkan keprihatinan anda bersama anda, untuk anda,” tambahnya.
Menurut Encik Ng, NTUC dan persatuan gabungannya – Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) – telah mencapai kemajuan dalam menyokong pekerja platform.
Beliau menekankan kejayaan advokasi Akta Pekerja Platform, yang berkuat kuasa pada 2025, yang antara lain, memberi pekerja perwakilan lebih kukuh dan saluran penyelesaian pertikaian yang betul.
Di bawah Akta tersebut, antara lain, pengendali platform dikehendaki menyediakan insurans pampasan kecederaan kerja untuk pekerja platform serta membayar lebih dalam caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Walaupun sudah mencapai kemajuan dalam memperjuangkan kesejahteraan pekerja platform, Encik Ng berkata masih banyak lagi yang perlu dilakukan, dan dengan cepat bagi menyokong pekerja platform dengan lebih baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg