Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan melawat Apia, Samoa, dari 23 hingga 26 Oktober bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) pertamanya sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mei.
Tema mesyuarat tersebut adalah Satu Masa Depan Bersama Yang Berdaya Tahan, dan ia juga merupakan mesyuarat kali pertama yang dianjurkan oleh sebuah negara Pulau Pasifik.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang dikeluarkan pada 23 Oktober, pemimpin Komanwel akan menyemak perkembangan dan membincangkan isu sejagat termasuk perubahan iklim dan membina ekonomi yang berdaya tahan.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin lain sempena mesyuarat tersebut.
Komanwel adalah persatuan sukarela 56 negara anggota dengan 33 daripadanya adalah negara kecil.
Chogm pula adalah mesyuarat sidang puncak dwitahunan yang melibatkan ketua-ketua pemerintahnya.
Antara pemimpin yang bakal hadir termasuk Raja Charles III, yang akan menghadiri Chogm pertamanya sejak ditabalkan pada 2023.
Encik Wong juga akan menghadiri satu majlis resepsi bagi pemimpin negara baru yang dianjurkan oleh Ketua Komanwel baru.
Encik Wong akan ditemani isterinya, Cik Loo Tze Lui; serta Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Singapura menjadi tuan rumah Chogm yang pertama pada 1971, yang menyaksikan penerimaan pakai Pengisytiharan Prinsip Komanwel Singapura, sebuah dokumen asas yang menetapkan prinsip utama perkumpulan itu.
Antara lain, ia termasuk komitmen untuk menegakkan perdagangan bebas, menggalakkan kerjasama untuk keamanan dan keselamatan, serta penegasan semula prinsip utama kedaulatan.
Chogm sebelum ini telah diadakan di Rwanda pada 2022, dan dihadiri oleh Perdana Menteri Singapura ketika itu, Encik Lee Hsien Loong.
Dalam ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, akan menggalas tanggungjawab sebagai pemangku Perdana Menteri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg