Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: Asean perlu kongsi data demi pacu pertumbuhan ekonomi
Chun Sing: Asean perlu kongsi data demi pacu pertumbuhan ekonomi
Perkongsian data antara negara mampu hasilkan lebih banyak pengetahuan, produk dan perkhidmatan baharu
Chun Sing: Asean perlu kongsi data demi pacu pertumbuhan ekonomi
Pertukaran data, tenaga dan kewangan secara bersama dalam kalangan negara Asean akan menyediakan asas untuk memacu kegiatan ekonomi di seluruh rantau ini, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 3 Ogos.
Asean juga perlu mengatasi kecenderungan terhadap perlindungan data bagi membolehkan idea perniagaan baharu dijana di rantau ini, tambah beliau.
Berucap di Forum Asean dan Asia Ke-18 anjuran Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay, Encik Chan menyifatkan data sebagai “pelincir baharu bagi ekonomi masa depan”.
“Setiap sektor yang mempunyai keupayaan pertumbuhan besar akan bergantung kepada aliran data yang lancar,” katanya.
Menurut Encik Chan, tidak seperti minyak yang akan habis apabila digunakan, data boleh dikongsi.
Perkongsian data antara negara mampu menghasilkan lebih banyak pengetahuan, produk dan perkhidmatan baharu.
Asean memiliki data yang kaya hasil kepelbagaian penduduknya, namun perlu mengatasi kecenderungan terhadap perlindungan data yang boleh menghalang penjanaan pengetahuan serta idea perniagaan baharu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai bagaimana Asean boleh mengekalkan persekitaran yang mantap, boleh diramal dan berasaskan peraturan bagi membolehkan perniagaan melabur serta beroperasi dengan yakin, dalam sesi dialog bertajuk Power and Agency Amidst Turmoil (Kuasa dan Keupayaan Bertindak Semasa Pergolakan).
Dialog itu dikendalikan Encik Quah Ley Hoon, Ketua Pegawai Korporat Kumpulan CapitaLand Investment dan ahli majlis SIIA.
Encik Chan berkata kesinambungan serantau hanya dapat dicapai jika setiap negara terlebih dahulu mewujudkannya di peringkat tempatan.
Menjelang 2030, Asean dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia dan berupaya mencapai kejayaan lebih besar melalui kerjasama.
Dalam sektor tenaga, beberapa negara Asean berpotensi menjadi kuasa besar tenaga boleh diperbaharui kerana memiliki sumber seperti angin, geoterma dan solar, kata Encik Chan.
Asean menyasarkan grid elektrik serantau yang bersepadu sepenuhnya menjelang 2045, yang menurut Encik Chan boleh mengurangkan kos tenaga.
“Persoalannya sekarang adalah sama ada kita mampu mengatasi sebahagian cabaran politik dalam negara bagi membangunkan rangkaian bekalan elektrik Asean yang lebih bersepadu,” kata beliau.
Namun, beliau berkata cabaran politik dalam negara perlu diatasi bagi mewujudkan visi tersebut. Beliau merujuk kepada Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura sebagai bukti kemajuan yang telah tercapai.
Dalam bidang kewangan, Encik Chan menekankan kepentingan penyelarasan ekonomi bagi membolehkan aliran modal bergerak dengan kos urus niaga yang terendah.
Menurutnya, matlamat itu tidak memerlukan mata wang tunggal, sebaliknya sistem kewangan yang lebih bersepadu seperti kerjasama Singapura dengan Australia dan New Zealand.
“Tiada banyak halangan teknikal untuk mencapainya dalam Asean agar perniagaan dapat menggerakkan dan mengembangkan modal melalui sistem kewangan yang lebih bersepadu,” kata beliau.
Dalam sesi terdahulu, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua (Kewangan), Encik Jeffrey Siow berkata Singapura akan memajukan beberapa usaha apabila menjadi Pengerusi Asean pada 2027, termasuk melonggarkan perkhidmatan udara dan meningkatkan kerjasama pelabuhan.
Matlamatnya ialah memperkukuh hubungan serantau, memperbesar pasaran serantau dan meningkatkan daya saing Asean di peringkat dunia.