Singapura perlu menggandakan usaha serta sumber bagi program peningkatan kemahiran semula agar pekerja dapat menyesuaikan diri dengan pantas dalam ekonomi yang sentiasa berubah, tekan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.

Menurut beliau, inilah cara negara ini mengubah kekangan akibat bilangan penduduk yang lebih kecil menjadi satu kelebihan, katanya pada 3 Ogos.

Beliau berkata bilangan penduduk yang lebih kecil membolehkan lebih banyak pelaburan dibuat bagi setiap individu menerusi latihan yang lebih menyeluruh dan kemudahan mendapatkan program peningkatan kemahiran semula dengan lebih cepat.

Beliau berkata demikian pada dialog ‘Keeping Singapore Competitive in a Disrupted World’ (Mengekalkan Daya Saing Singapura dalam Dunia Bergolak) di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay, anjuran Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA).

Menurutnya, Singapura sudah mempunyai kelebihan menerusi SkillsFuture, yang pada 1 Julai digabungkan dengan Workforce Singapore (WSG) untuk membentuk Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) bagi mewujudkan ekosistem pekerjaan dan kemahiran yang lebih bersepadu.

Singapura sudah mempunyai kelebihan awal dalam usaha peningkatan kemahiran semula menerusi SkillsFuture, kata Encik Siow ketika bercakap bersama moderator yang juga Pengerusi SIIA, Encik Simon Tay, di hadapan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada pembuat dasar, ahli akademik dan pemimpin perniagaan.

Pemerintah menubuhkan SkillsFuture Singapore, sebuah lembaga berkanun yang mentadbir program peningkatan kemahiran (upskilling) dan peningkatan kemahiran semula (reskilling), pada 2015.

Pada 1 Julai, ia digabungkan dengan Workforce Singapore (WSG) bagi membentuk Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA), sebuah lembaga berkanun baharu untuk mewujudkan ekosistem pekerjaan dan kemahiran yang lebih bersepadu.

Encik Siow berkata” “Jika kita dapat melakukan lebih banyak dalam aspek itu, kita boleh mengatasi kekangan tersebut.”

Beliau menjawab soalan hadirin mengenai perubahan yang perlu dilakukan Singapura ketika negara berusaha membaharui ekonominya bagi menghadapi masa depan.

Encik Siow berkata Singapura menghadapi beberapa kekangan, termasuk penduduk yang semakin menua, kadar kesuburan yang amat rendah dan keperluan menyepadukan pendatang baharu.

Namun, cabaran terbesar ialah tenaga.

Beliau berkata Singapura menghadapi kesukaran menjana tenaga boleh diperbaharui, manakala bekalan tenaga semasa turut terjejas akibat konflik di Timur Tengah.

Oleh itu, negara perlu mempelbagaikan sumber tenaga, termasuk mengkaji kesesuaian penggunaan tenaga nuklear.

Menurutnya, usaha itu, di samping usaha peningkatan kemahiran semula, perlu menjadi tumpuan negara.

Singapura tidak berdiam diri ketika sistem perdagangan bebas dunia semakin terhakis, kata Encik Siow ketika menjawab soalan mengenai perubahan ekonomi dunia.

Perdagangan hari ini bukan sekadar melibatkan pergerakan barangan, tetapi juga kedudukan sebagai pusat aliran data dan keupayaan mengawal pengagihan barangan serta perkhidmatan, ujar Encik Siow.

Beliau memberi contoh bagaimana pengendali pelabuhan PSA mempunyai rangkaian pelabuhan yang luas di seluruh dunia, yang membolehkannya menyelaraskan pergerakan kapal dan kontena ke pelabuhan lain apabila sebahagiannya mengalami gangguan.

PSA mengendalikan 70 terminal laut, rel dan pedalaman di lebih 180 lokasi.

Menurutnya, Singapura juga berpeluang mengembangkan pendekatan itu dalam sektor kargo udara.

Ini adalah antara cadangan utama laporan semakan strategi ekonomi yang diterbitkan pada Jun, yang mengandungi 32 saranan bagi mempersiapkan ekonomi Singapura untuk masa depan.

“Kami mahu beralih daripada sekadar menjadi pusat barangan, perkhidmatan dan perdagangan kepada hab yang menyelaraskan aliran itu melalui Singapura, dan kami akan terus melaksanakannya,” kata Encik Siow.

Pada hari yang sama, SIIA turut menerbitkan laporan mengenai daya saing Singapura bersama Asean.

Laporan itu menyatakan Singapura mengharungi ketidaktentuan dunia semasa dengan baik serta mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh daya saingnya di rantau ini.

Antara cadangannya ialah meningkatkan pemahaman pelabur terhadap dasar negara-negara Asean serta memperkukuh hubungan dengan Johor dan Sumatera.

Dalam sesi panel, Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pelabuhan PSA, Encik Foo Cexiang, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tanjong Pagar, pula berkata Singapura berupaya menjadi hab makanan serantau dan gerbang Asean ke pasaran dunia, dan meningkatkan perdagangan dalam Asean.

Singapura perlu mengenal pasti barangan dan perkhidmatan yang benar-benar boleh diperdagangkan di rantau ini, katanya sambil menambah bahawa negara ini berada pada kedudukan baik untuk menjadi hab makanan serantau Asean.

Encik Foo berkata keupayaan perkilangan makanan Singapura adalah canggih, dan negara ini boleh menjadi pintu masuk Asean ke pasaran dunia.

“Itu sudah tentu akan meningkatkan perdagangan dalam Asean,” kata Encik Foo, yang akan menyertai Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebagai Menteri Negara mulai 1 September. Beliau juga akan menjadi Menteri Negara Tenaga Manusia.

Beliau turut menegaskan kepentingan rakyat Singapura membangunkan kemahiran antara budaya bagi mengukuhkan rangkaian serantau.

“Unsur rentas budaya itu menjadi asas kepada kemajuan Asean,” katanya.