Asean mesti membezakan dirinya sebagai sebuah rantau yang ditakrifkan oleh tindakan kolektif, keharmonian dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa pada masa yang tidak menentu, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Berucap pada sesi pleno pertama Forum Putrajaya kelapan bertema Harnessing Emerging Technologies for Asean Security (Memanfaatkan Teknologi Terkini untuk Keselamatan Asean) pada 21 April, Encik Chan berkata ia akan membolehkan rantau ini memaparkan kestabilan, mencipta peluang dan menarik lebih banyak pelaburan bagi mewujudkan pekerjaan dan kehidupan lebih baik untuk rakyatnya.

Encik Chan berkata demikian semasa lawatannya ke Kuala Lumpur, Malaysia, dari 20 hingga 21 April bagi menghadiri Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-19 serta Forum Putrajaya kelapan.

Acara itu berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Dalam ucapannya, Encik Chan menekankan bahawa teknologi membangun mesti mempunyai tujuan di dunia nyata seperti memastikan ruang udara dan perairan antarabangsa kekal terbuka, selamat dan cekap.

Merujuk kepada konflik di Timur Tengah dan penutupan Selat Hormuz, Encik Chan berkata sebarang sekatan transit akan membawa kesan luas dan pantas terhadap rantaian bekalan, pasaran tenaga, dan kos sara hidup rakyat di Asia Tenggara.

“Konflik Timur Tengah yang berterusan telah memperbaharui perhatian terhadap ruang udara dan laluan air yang penting ini.

“Bagi Asia Tenggara, ini bukanlah isu yang terpencil atau jauh. Rantau kita terletak di persimpangan perdagangan sejagat,” kata Encik Chan.

Menurutnya, negara yang berada di pesisir Selat Melaka bergantung pada perdagangan bagi kelangsungan hidup dan kejayaan, justeru semua negara berkongsi minat yang sama untuk memastikan ia terbuka, selamat dan cekap.

Encik Chan menekankan hak transit yang diiktiraf di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) adalah hak berterusan yang tidak tertakluk kepada penggantungan atau yuran.

Namun, beliau akur sedang jumlah trafik meningkat seiring dengan pembangunan ekonomi, negara pesisir mungkin juga mempunyai kebimbangan tentang siapakah yang melaluinya dan niat mereka.

“Kita perlu mengimbangkan hak transit dengan keselamatan dan sekuriti. Di sinilah teknologi boleh dan telah membuat perbezaan,” kata Encik Chan.

Beliau memberi contoh sistem moden seperti Automatic Dependent Surveillance-Broadcast (ADS-B) atau Pengawasan Bergantung Automatik-Siaran dan Automatic Identification System (AIS) atau Sistem Pengenalan Automatik yang membolehkan kapal serta pesawat dikesan secara masa nyata.

Teknologi itu juga membolehkan pesawat dijejaki dalam masa nyata di seluruh dunia, manakala kapal boleh melihat satu sama lain di luar ufuk, memberikan kejelasan kepada laluan udara dan laut yang paling sibuk sekalipun.

“Sistem-sistem ini mengetengahkan kebenaran yang mudah: ketelusan membina kepercayaan, yang mengekalkan keterbukaan.

“Keselamatan dan kecekapan diuruskan dengan lebih baik tanpa perdebatan yang tidak perlu mengenai kedaulatan,” kata Encik Chan.

Melangkah ke hadapan, Encik Chan menyarankan tiga langkah utama untuk memajukan Asean dalam mengguna pakai teknologi baharu bagi menguruskan jumlah trafik yang semakin meningkat sambil memastikan keselamatan.

Beliau menyarankan agar Asean menghubungkan sistem negara anggota agar maklumat dapat mengalir dengan lancar sambil menubuhkan piawaian agar sistem dapat berkomunikasi menggunakan “bahasa” yang sama.

Encik Chan turut menyarankan agar negara serantau berkongsi data yang dipercayai dengan lebih berkesan agar seluruh Asean dapat berkongsi kefahaman yang sama mengenai apa yang dilihat.

“Bersama-sama, langkah-langkah ini dapat mengurangkan titik tersembunyi atau ‘blind spot’, mengurus risiko dengan lebih baik, dan memperkukuh pemusatan dan keyakinan Asean dalam Asean,” tambahnya.

Semasa di Kuala Lumpur, Encik Chan turut menghadiri majlis perasmian yang dihadiri Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut bertemu Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Ahli Parlimen (AP) Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin di luar pameran itu.