Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: BH tetap teguh pada teras, nilai, meski beralih kepada saiz akhbar kompak

Nov 10, 2025 | 8:35 PM
Berita Harian, Anugerah Jauhari, Chan Chun Sing
Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (tengah), meninjau contoh naskah kompak Berita Harian bersama penerima Anugerah Jauhari, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan (kiri), dan penerima Anugerah Jauhari Harapan, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sungguhpun akhbar Berita Harian (BH) bakal beralih kepada lembaran kompak – lebih kecil berbanding lembaran lebar sedia ada – pada suku pertama 2026, akhbar tersebut masih mengekalkan teras dan nilai yang dipegang sejak penubuhannya pada 1957.

Demikian kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dalam satu hantaran di Facebook pada 10 November.

Menurutnya, beliau berpeluang melihat dengan lebih dekat edisi kompak BH tatkala hadir selaku tetamu terhormat dalam majlis gilang-gemilang Anugerah Jauhari BH di Hotel Four Seasons pada 7 November.

Acara tersebut telah memasuki edisi ke-27.

Beliau menjelaskan semangat dalam usaha transformasi BH adalah peringatan bahawa sesuatu kemajuan hanya dapat dicapai dengan semangat kekitaan.

Majlis itu menyaksikan penyampaian Anugerah Jauhari BH 2025 kepada Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan, 46 tahun.

Pengasas bersama kolektif sastera belia Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun, pula dinamakan sebagai penerima Jauhari Harapan atas usahanya memartabatkan seni dan persuratan bahasa Melayu.

Encik Chan berkata kisah kedua-dua penerima yang berpaksikan daya ketahanan, bakti dan ihsan antara satu sama lain mencerminkan sifat terbaik yang wujud dalam kalangan masyarakat.

“Setiap generasi meningkatkan mutu kehidupan generasi seterusnya, dan bersama-sama kita membina masyarakat yang lebih kukuh dan yakin – bangga dengan asal usul kita, namun sentiasa bersedia untuk masa hadapan.

“Sama ada dalam kisah yang kita sampaikan, komuniti yang kita taburkan bakti, atau masa depan yang kita bina, setiap daripada kita memainkan peranan.

“Apabila kita melakukan yang terbaik untuk orang lain, kita dapat menonjolkan sifat terbaik Singapura, untuk warga Singapura,” ujarnya.

Sementara itu, edisi baru BH dalam format kompak akan menampilkan kandungan yang dipertingkat.

Ini termasuk analisis berita lebih mendalam, listicle atau laporan berbentuk senarai, ringkasan berita dan pautan pantas ke kandungan digital BH melalui kod QR bagi melancarkan pengalaman pengguna antara cetak dengan digital.

Matlamat utama peralihan bentuk lembaran ini adalah demi menjadikan akhbar BH lebih mesra pembaca, mudah dibawa dan menarik minat generasi muda yang cenderung membaca di pelbagai platform.

Transformasi besar BH, yang bermula pada Jun 2023, telah menyaksikan rombakan pada struktur organisasi bilik berita, penghasilan kandungan cetak dan digital yang baru, serta peningkatan dalam kehadiran media sosial.

Ia turut melibatkan peluasan kepada program mendekati masyarakat dan pembaca, khususnya golongan muda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg