Peralihan Berita Harian ke format kompak dijangka menawarkan versi lebih padat dan lebih mesra pengguna, sedang akhbar itu menyesuaikan diri dalam dunia kian digital, kata pembaca serta pemimpin masyarakat.
Langkah itu mencerminkan usaha akhbar yang ditubuhkan pada 1957 itu untuk kekal relevan kepada pembaca, sekali gus memberi kesan yang lebih mendalam.
Mantan Editor BH, Encik Zainul Abidin Rasheed, menganggap transformasi tersebut sebagai langkah yang sudah dijangkakan, mengambil kira perubahan sikap pembaca dan pengalihan penyebaran maklumat ke wadah digital.
“Dalam arus perubahan ini, amat penting bagi Berita Harian untuk terus mengekalkan peranannya sebagai wadah yang memastikan masyarakat dan para pembacanya tidak kehilangan nilai serta budaya yang dekat di hati komuniti Melayu/Islam – sesuatu yang semakin relevan dalam konteks Singapura yang semakin global dan pesat berubah,” kata beliau, yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin).
Pada 7 November, Editor Berita Harian / Berita Minggu (BH/BM), Encik Nazry Mokhtar, mengumumkan akhbar itu akan ia bertukar format daripada lembaran lebar, atau broadsheet, kepada saiz kompak pada suku pertama tahun depan. Saiz baru akhbar itu sekitar separuh daripada lembaran sekarang.
Perubahan format cetak tersebut adalah lanjutan daripada transformasi menyeluruh BH yang bermula lebih dua tahun lalu, termasuk meluaskan jangkauan digital dan mengukuhkan hubungan dengan masyarakat.
Format kompak itu dibangunkan berdasarkan hasil tinjauan dan perbincangan kumpulan fokus bersama pembaca dan pihak berkepentingan.
Matlamat utamanya adalah menjadikan akhbar BH lebih mesra pembaca, mudah dibawa dan menarik minat generasi muda yang cenderung membaca di pelbagai platform.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Azhar Ibrahim, yang juga pembaca BH selama lebih empat dekad, menganggap peralihan kepada format kompak sebagai perkembangan semula jadi.
Beliau melihatnya sebagai bentuk pembaharuan yang mencerminkan perubahan tabiat membaca sambil mengekalkan tujuan teras akhbar ini: memberi maklumat, mencabar, dan memupuk pemikiran.
“Setiap era mesti mencari rentak tersendiri, dan perubahan ini memastikan BH dekat dengan denyutan pembaca yang lebih muda tanpa kehilangan kewibawaannya (gravitas),” jelas Dr Azhar.
Beliau juga yakin bahawa BH kekal sebagai suara komuniti yang abadi – relevan, reflektif dan berakar umbi dalam pengalaman bersama.
Pengarah urusan Rice Media, Encik Khai Asyraf, yang membaca BH sejak di bangku sekolah, berkata akhbar itu telah membentuk pandangannya terhadap masyarakat, menerusi paparan kisah individu daripada pelbagai latar belakang.
“Format kompak baru terasa seperti pembaharuan yang bernas: praktikal, moden dan mesra pembaca untuk mereka yang seusia saya yang masih menghargai pengalaman membaca akhbar cetak.
“Dalam landskap media yang didominasi bahasa Inggeris, BH kekal penting – ruang yang boleh dipercayai, serta yang memelihara bahasa kita, meraikan kisah kita dan memastikan suara masyarakat kita terus hidup,” ujarnya yang juga anggota lembaga pengarah Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg