Kedwibahasaan mesti kekal sebagai asas sistem pendidikan Singapura meskipun berlakunya perubahan struktur pada landskap pendidikan di sini.
Ini kerana kedwibahasaan dan keanekabahasaan adalah kunci untuk membantu Singapura membina jambatan merentasi dunia yang semakin berpecah belah, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Menurut beliau, nilai kebolehan menggunakan lebih daripada satu bahasa melebihi hanya keupayaan berkomunikasi.
“Bahasa membuka jendela kepada pemahaman lebih mendalam tentang nuansa budaya dan cara orang lain berfikir – motivasi, perspektif dan pandangan dunia mereka.
“Lebih daripada itu, kedwibahasaan merupakan teras identiti Singapura kita. Ia lebih daripada setakat menggalakkan warga kita menggunakan pelbagai bahasa dalam kehidupan seharian mereka. Ia menunjukkan komitmen kita kekal terhubung dengan warisan budaya kita yang kaya dan tersendiri,” ujar Encik Chan.
Encik Chan berkata demikian dalam ucapannya sebagai tetamu terhormat pada acara Kuliah Kementerian Pendidikan (MOE) x Institut Kajian Dasar (IPS) x Institut Pendidikan Nasional (NIE): Dari Asas ke Sempadan – Perjalanan Pendidikan 60 Tahun di Maktab Rendah Anglo Chinese pada 11 Februari.
Bercakap kepada sekitar 500 peserta yang termasuk guru pelajar, bekas pendidik dan tetamu dari MOE, NIE dan IPS, beliau akur bahasa Inggeris telah menjadi bahasa dominan bagi kebanyakan isi rumah di sini.
Oleh itu, usaha mesti digandakan untuk mengukuhkan kedwibahasaan.
“Ini merupakan cabaran yang sukar tetapi penting untuk diatasi pada tahap selanjutnya,” kata beliau.
Dalam ucapan selama hampir sejam itu, Encik Chan mengetengahkan tiga perkara yang perlu ada dalam para pelajar untuk maju dalam era yang penuh dengan ketidakpastian dan pemecahbelahan.
Pertama, mereka mesti mempunyai kebolehan mencipta cadangan nilai baru.
“Pelajar kita tidak boleh hanya menjawab soalan semalam dengan jawapan semalam. Mereka perlu bertanya soalan hari esok dan mencari jawapan hari esok,” kata Encik Chan.
Kedua, mereka mesti mempunyai kebolehan untuk berhubung.
Ini semakin penting lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin berpecah dan masyarakat yang semakin berbelah bahagi.
“Kebolehan untuk mewujudkan kepelbagaian budaya, membina kerjasama dan merapatkan perbezaan akan menjadi kelebihan daya saing kami,” katanya.
Ketiga, adalah penting bagi pelajar mempunyai kebolehan mengasah, menghargai dan menggunakan kepelbagaian kekuatan.
“Kita mesti beralih daripada tanggapan tradisional dan sempit tentang erti kejayaan dan berhenti membandingkan diri kita dengan satu sama lain.
“Kita mesti mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh setiap individu dalam masyarakat.
“Kejayaan adalah tentang menjadi versi terbaik diri kita dan menyumbang apa yang kita boleh kepada masyarakat.
“‘Pelbagai jalan menuju kejayaan bukanlah dan tidak boleh menjadi sekadar cogan kata. Setiap orang mesti mempunyai peluang untuk memenuhi potensi unik mereka,” jelas beliau.
Encik Chan berkata sudah ada usaha dalam bentuk anjakan struktur yang dilakukan saban tahun untuk memastikan para pelajar memiliki tiga ciri ini.
Yang pertama, katanya, sistem itu mesti terus menyokong penyesuaian pendidikan yang lebih besar untuk memenuhi pelbagai kebolehan, keperluan, minat dan aspirasi.
Ini bererti menerima pemikiran baru tentang apa yang diajar dan cara mengajar dan belajar, serta memanfaatkan teknologi.
Selain itu, sebagai satu masyarakat, adalah penting untuk mendakap pembelajaran di luar sekolah dan sepanjang hayat.
“Membina asas bagi pembelajaran yang didorong diri sendiri bermula daripada kecil. Sebagai sistem pendidikan, kita mesti elak daripada memberi dengan berlebihan, menyediakan struktur secara berlebihan dan melindungi secara berlebihan.
“Sekolah tidak boleh dijadikan dunia kita, sebaliknya dunia mesti menjadi sekolah kita,” tambah Encik Chan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg