Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing gesa Mindef, SAF usah leka, terus inovasi tangani ancaman baharu
Chun Sing gesa Mindef, SAF usah leka, terus inovasi tangani ancaman baharu
139 individu, pasukan, dan unit dari seluruh Mindef, SAF diiktiraf atas inovasi serta usaha penambahbaikan tugas mereka
Chun Sing gesa Mindef, SAF usah leka, terus inovasi tangani ancaman baharu
Bukan sekadar melakukan sesuatu dengan lebih baik, Singapura juga perlu meneroka cara “melakukan perkara yang lebih baik” dengan mengenal pasti senario baharu, membayangkan ancaman sebelum ia muncul, dan membangunkan konsep operasi baharu yang belum dijangka oleh pihak lawan.
Demikian kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dalam ucapannya semasa Simposium Inovasi IGNITE 2026 (IIS26) di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 16 Julai.
“Bagaimana untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik adalah persoalan yang lebih mudah. Bagaimana untuk melakukan perkara yang lebih baik pula adalah persoalan yang lebih sukar.
“Ia memerlukan imaginasi, keberanian dan kesediaan untuk melakukan kesilapan sebelum kita berjaya melakukannya dengan betul.
“Namun, inilah semangat yang mesti kita pupuk dalam Mindef dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
“Fikirkan tentang senario baharu sebelum ia muncul. Fikirkan tentang tindak balas kita sebelum orang lain memikirkannya, dan sentiasa mempunyai sesuatu dalam simpanan kita yang mampu mengejutkan pihak lawan,” ujar Encik Chan.
Acara IIS26 bertujuan mengiktiraf pencapaian serta sumbangan unit dan anggota dalam bidang inovasi, di samping menyediakan platform untuk perkongsian silang idea serta meningkatkan semangat pembelajaran dan penambahbaikan berterusan dalam organisasi.
Secara keseluruhan, seramai 139 individu, pasukan, dan unit daripada seluruh Mindef dan SAF telah diiktiraf atas inovasi serta usaha penambahbaikan tugas mereka, yang telah membawa kepada peningkatan dalam kecekapan dan keselamatan.
Ini selain membentuk ekosistem inovasi teguh, yang penting bagi mengekalkan keunggulan serta kesiapsiagaan masa hadapan Mindef/SAF.
Bertema, ‘Berinovasi Hari Ini, Membina Daya Tahan Hari Esok’, IIS26 mencerminkan komitmen Mindef/SAF untuk menyerapkan inovasi dalam kehidupan seharian, kata Mindef dalam satu kenyataan pada 16 Julai.
Dalam pada itu, Encik Chan juga disertai Setiausaha Tetap (Pertahanan) Encik Joseph Leong; Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Madya Aaron Beng; Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan), Encik Melvyn Ong; dan pegawai kanan Mindef dan SAF.
Encik Chan berkata: “Dalam SAF, kami sentiasa percaya bahawa kekuatan organisasi kami bukan hanya terletak pada perkakasan yang kami pertaruhkan, bahkan juga pada keberanian serta keazaman anggota kami untuk terus melakukan penambahbaikan.
Beliau menambah bahawa semangat itu tidak boleh sesekali pudar, sekali gus menekankan kepentingan peranan anggota SAF dan usaha memupuk budaya inovasi.
Selain itu, Encik Chan turut menekankan kepentingan inovasi dan mengingatkan agar mereka tidak leka dalam menangani ancaman baharu yang sedang muncul dan berkembang.
“Andaian paling berbahaya yang boleh kita buat adalah menganggap cabaran masa hadapan adalah sama seperti hari ini atau hari-hari yang lalu,” kata beliau.
Bagi memperkukuh keperluan untuk kekal berdaya tahan dalam menangani sebarang gangguan, Encik Chan menambah:
“Kita mesti mengejutkan ancaman dan sentiasa berada selangkah di hadapannya.
“Ini bermakna kita perlu mempelbagaikan pergantungan terhadap rantaian bekalan, membina lebihan kapasiti dan yang paling penting, membangunkan pelbagai konsep operasi – supaya kita tidak sekali-kali menjadi tebusan kepada satu rantaian bekalan, satu pembekal atau satu cara peperangan sahaja.”
