Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri Pertahanan Chan Chun Sing ke Jakarta dari 14-15 Jul bagi lawatan kerja
Menteri Pertahanan Chan Chun Sing ke Jakarta dari 14-15 Jul bagi lawatan kerja
Menteri Pertahanan Chan Chun Sing ke Jakarta dari 14-15 Jul bagi lawatan kerja
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, akan menjalani lawatan kerja ke Jakarta dari 14 hingga 15 Julai.
Semasa di sana, beliau akan melancarkan inisiatif Alumni Pertahanan Indonesia-Singapura bersama rakan sejawatnya, Jeneral Sjafrie Sjamsoeddin, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 13 Julai.
Panglima Pasukan Pertahanan (CDF) Singapura, Laksamana Madya Aaron Beng, dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Jeneral Agus Subiyanto, akan turut serta dalam pelancaran inisiatif tersebut selaku presiden bersama alumni berkenaan.
Mindef berkata inisiatif itu menghimpunkan pegawai daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI), yang pernah bekerjasama atau menamatkan tempoh pengajian di Singapura dan Indonesia.
Ia bertujuan mengekalkan hubungan yang terjalin menerusi pengalaman bersama ini serta memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara Singapura dengan Indonesia, tambah Mindef.
Encik Chan juga dijadual menghadiri majlis jamuan Hari SAF dan bertemu dengan para pemimpin pemerintah Indonesia lain.
Lawatan beliau ini menegaskan lagi ikatan pertahanan yang kuat dan lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia, menurut Mindef.
Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik mereka pada 2027.
