Topik diikuti
Pergi ke BHkuKewibawaan SAF asas keyakinan dunia terhadap S’pura
Kewibawaan SAF asas keyakinan dunia terhadap S’pura
Chun Sing: Setiap askar main peranan, bukan hanya menteri pertahanan atau kepimpinan angkatan tentera
Kewibawaan SAF asas keyakinan dunia terhadap S’pura
Seluruh dunia tidak akan berurusan dengan Singapura tanpa pasukan pertahanan yang berwibawa, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 1 Julai.
Menurut Encik Chan, kewibawaan itu bergantung pada usaha setiap anggota tentera, bukan hanya menteri pertahanan atau kepimpinan angkatan tentera.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengesahan Semula Bersama Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) di Hill Street.
Hari SAF jatuh pada 1 Julai.
Merujuk kepada Dialog Shangri-La 2026 pada akhir Mei, Encik Chan berkata ramai mahu bekerjasama dengan Singapura kerana negara ini dipercayai dan berwibawa.
“Ramai mendengar pandangan kita dan berbincang dengan kita,” ujarnya.
Dialog Shangri-La menghimpunkan pegawai pertahanan tertinggi dunia di Hotel Shangri-La, Singapura.
Beliau berkata anggota Perkhidmatan Negara (NS) telah membina kewibawaan bertahun-tahun, sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka dan anggota tetap SAF, serta mengingatkan warga agar tidak leka.
“Kita perlu melakukannya dengan tepat pada kali pertama dan setiap kali.
“Namun, pihak lawan hanya perlu berjaya sekali,” tambahnya.
Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, berkata sokongan golongan perniagaan terhadap NS amat penting.
Katanya, pelabur hanya perlu bertanya kepada usahawan sama ada syarikat di Singapura menyokong anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dan anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen).
“Mereka akan mengetahui anggota NSF dan NSmen kita mampu menumpukan perhatian kepada tugas serta mempertahankan Singapura dengan berkesan,” katanya sambil memberi penghargaan kepada golongan perniagaan.
Encik Chan turut melahirkan penghargaan kepada keluarga anggota SAF.
“Anda sebahagian daripada ekosistem pertahanan kita.
“Dengan sokongan anda, anggota NSF dan NSmen dapat terus mempertahankan negara setiap hari,” kata beliau.
Encik Chan menegaskan pertahanan ialah tanggungjawab seluruh negara dan keamanan yang dinikmati hari ini hasil daripada usaha yang berterusan.
“Setiap hari biasa sebenarnya memerlukan usaha di tengah-tengah pergolakan dunia,” ujarnya.
SCCCI mengadakan Majlis Pengesahan Semula Hari SAF setiap tahun.
Pada majlis itu, Presiden SCCCI, Encik Kho Choon Keng, berkata dewan itu akan terus menyokong NS serta menyumbang kepada keamanan, kemantapan dan kemakmuran Singapura melalui pembangunan ekonomi, pertahanan negara dan pendidikan.
SCCI bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-120 pada 2026.
Seorang NSmen, Encik Lester Tan, mengetuai hadirin melafazkan Ikrar Negara dan Ikrar SAF serta menyanyikan Lagu Kebangsaan.
Majlis itu ialah satu daripada empat Majlis Pengesahan Semula yang diadakan pada 1 Julai.
Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) menganjurkan satu majlis yang dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, manakala Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) menganjurkan satu lagi majlis yang dihadiri Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menghadiri satu lagi majlis yang dianjurkan oleh Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF).
