Julat gaji yang diluaskan bagi pemegang jawatan politik akan membantu menarik tiga golongan calon – individu baru, penyumbang berpengalaman, dan individu mapan dengan kualiti unik untuk ditambahkan kepada pasukan politik, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.

Menggulung perbahasan kenyataan menteri berhubung semakan gaji 2026 bagi pemegang jawatan politik di Parlimen pada 10 September, Encik Chan berkata ia tidak sepatutnya dijadikannya lebih sukar bagi mana-mana pemerintah mencari dan membentuk pasukan yang layak diterima oleh Singapura.

Beliau menambah bahawa tujuannya bukan sahaja untuk mencari jumlah individu yang cukup dan bersedia untuk memikul tanggungjawab, tetapi untuk mencari individu yang baik untuk dijadikan pilihan supaya kita dapat membina pasukan yang teguh untuk cabaran akan datang.

“Kita mesti mempunyai individu yang mempunyai kekuatan dan pengalaman yang berbeza untuk menangani pelbagai cabaran, dan cabaran ini akan menjadi jauh lebih banyak pada tahun-tahun akan datang,” kata beliau, yang juga Menteri Pertahanan.

“Semakin luas kelompok bakat yang ada, semakin banyak pilihan yang kita miliki, dan semakin besar peluang kita untuk mencari serta membentuk pasukan yang layak diterima oleh Singapura,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai golongan yang diperlukan untuk membina pasukan yang teguh, Encik Chan berkata ahli muda yang bersemangat membawa tenaga, idea, serta pandangan baharu, dan boleh berkembang dengan masa untuk membina kepercayaan dan hubungan rapat dengan sesama rakyat Singapura.

Sementara itu, individu yang berpengalaman pula membawa pertimbangan yang wajar serta mampu memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mempunyai ruang untuk berkembang.

Individu mapan pula mempunyai pengalaman mendalam yang boleh menyumbang secara ketara dari hari pertama.

Inilah tujuan penanda aras ganjaran pasaran diwujudkan, kata Encik Chan.

Meskipun ia tidak boleh menjamin pasukan yang kuat atau kepastian dalam keputusan, ia boleh meluaskan kelompok pilihan yang ada untuk memaksimumkan peluang kejayaan.

Sama juga, matlamat rangka gaji politik adalah untuk menyediakan julat dan fleksibiliti untuk memilih serta mendapatkan pasukan yang kuat dan berbilang latar belakang, tambah beliau.

Pada 8 September, pemerintah menerima cadangan jawatankuasa yang menyemak semula gaji pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP), termasuk untuk mengemas kini tanda aras MR4 daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.

Namun, pemerintah tidak akan melaksanakan kenaikan penuh itu serta-merta, tetapi akan melaksanakan pelarasan khas sekali sahaja sehingga 9 peratus, iaitu kenaikan kepada $1.2 juta, bagi setiap pemegang jawatan politik.

MR4 ialah gred rujukan bagi menentukan struktur gaji pemegang jawatan politik.

Ini selain untuk meluaskan julat gaji menteri dalam setiap gred kepada lebih atau kurang 25 peratus, yang akan membolehkan menteri beralih ke mata gaji yang berbeza dari semasa ke semasa berdasarkan prestasi mereka.

Encik Chan menekankan bahawa kewangan tidak seharusnya menjadi pertimbangan utama bagi seseorang yang ingin memasuki bidang politik.

Calon yang berpotensi perlu mempertimbangkan pelbagai perkara, termasuk penelitian awam, kehilangan privasi, ketidakpastian sama ada dipilih dalam pilihan raya atau tidak, jangkaan awam dan kemungkinan kegagalan.

Namun, pertimbangan yang paling penting adalah tanggungjawab untuk membuat keputusan yang tepat untuk Singapura dan rakyat Singapura, tegas Encik Chan.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa soal gaji adalah penting walaupun ia bukan segala-galanya.

“Wang tidak sepatutnya menjadi pertimbangan utama, tetapi walaupun jika ia merupakan salah satu daripada banyak pertimbangan praktikal, kita tetap perlu membincangkannya secara terbuka, jujur, dan berterus terang.

“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri bukan sekadar bagaimana untuk mendorong seseorang individu tampil ke hadapan, tetapi bagaimana untuk membina satu sistem yang memaksimumkan peluang kita mendapatkan orang yang mencukupi, yang mempunyai komitmen dan kaliber yang betul, untuk tampil berkhidmat,” kata beliau.