Usah memandang remeh kepada tugas yang diberikan walau sekecil apapun dan jangan memandang rendah kepada orang berdasarkan pangkat atau jawatan, pesan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing kepada sekalian penjawat awam dan penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) 2026.

Sewaktu berucap di Majlis Anugerah Biasiswa PSC 2026 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 24 Julai, beliau berkata:

“Jangan pandang remeh terhadap tugas kecil yang diberikan kepada anda. Lakukan dengan bangga dan baik. Jangan sekadar mencari makna, tapi berilah makna dalam setiap perkara yang anda lakukan. Jangan juga memandang rendah pada orang lain, khususnya orang di luar Singapura. Jangan pandang mereka kerana pangkat atau jawatan. Lihat semua orang dengan nilai dan bina hubungan bersama mereka.

“Kita juga harus bina jaringan bukan sahaja dalam lingkungan perkhidmatan awam, malah, di luarnya juga. Hubungan seperti itu yang akan meletak kita dalam keadaan yang baik tatkala Singapura cuba untuk menempuhi cabaran dalam beberapa dekad akan datang.”

Encik Chan, yang juga merupakan Menteri Pertahanan, turut mengingatkan mereka yang hadir agar membina pasukan dengan usaha untuk mempertingkatkan taraf setiap anggota dalam misi perkhidmatan sebagai penjawat awam.

“Sesebuah kejayaan itu tidak ditentukan oleh pencapaian peribadi kita dalam perkhidmatan awam.

“Kejayaan ditentukan oleh sumbangan kita dalam cara kita mempertingkatkan diri orang lain demi melaksanakan misi kita sebagai penjawat awam. Tugas kita adalah untuk melihat yang terbaik dalam diri setiap orang, untuk menjadi versi diri mereka yang terbaik agar dapat bersama bantu Singapura menentukan sejarahnya,” tambah beliau.

Tahun ini (2026), terdapat seramai 74 penerima biasiswa PSC, jumlah tertinggi sejak 2019.

Para penerima biasiswa itu bakal melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang sama ada di universiti tempatan atau di luar negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, China dan Jepun.

Mengulas sedikit tentang proses pemilihan penerima biasiswa tersebut, Encik Chan berkongsi, saban tahun banyak yang telah berubah, termasuk rangka kerja pembangunan dan pengerahan.

Namun, beliau menegaskan, kemunculan kecerdasan buatan (AI) tidak akan menggantikan proses pemilihan yang sedia ada kini.

“Hari ini, ramai yang akan bercakap tentang AI dan barangkali tentang penggunaan AI dalam sistem pemilihan penerima biasiswa.

“Namun, kami akan sentiasa percaya tiada apa yang akan dapat menggantikan penilaian anggota PSC dalam proses pemilihan itu,” kata beliau.