Selama lebih 40 tahun, ibu Cik Nur Atiqah Abdul Razak, iaitu Cik Norhayati Rahim, telah bekerja dalam sektor awam di Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Melihat sendiri ketekunan dan dedikasi ibunya yang kini berusia 66 tahun, Cik Atiqah terdorong untuk meneroka kerjaya yang membolehkannya untuk berbakti kepada negara dan memilih untuk memulakannya di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) 11 tahun yang lalu.

“Ibu saya menjadi dorongan untuk saya terus bekerja keras dan tidak putus asa kerana saya kagum melihat dedikasinya,” kongsi Cik Atiqah yang kini merupakan Penolong Pengarah (Pembangunan Kompetensi dan Perkongsian Strategik), Divisyen Latihan dan Pembangunan Kompetensi (TCD) di Ibu Pejabat MHA.

Pasukan TCD beliau bertanggungjawab untuk mengenal pasti kemahiran baharu yang diperlukan pegawai Home Team serta bekerjasama dengan rakan strategik untuk membangunkan program peningkatan kemahiran dan pembangunan profesional bagi pegawai.

Cik Atiqah, 35 tahun, merupakan antara 173 penerima biasiswa, tajaan, dan anugerah pengajian MHA di sebuah majlis penganugerahan di ibu pejabat kementerian itu di Irrawaddy Road pada 24 Julai.

Ini merupakan jumlah anugerah yang tertinggi diberikan oleh MHA dalam tempoh masa lima tahun yang lalu.

Beliau bakal mengikuti pengajian Sarjana Hubungan Antarabangsa secara sepenuh masa di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mulai Ogos menerusi Biasiswa Possiswazah MHA.

Beliau dijangka akan menamatkan pengajian pada 2027.

Selain Cik Atiqah, 35 lagi pegawai MHA juga telah menerima biasiswa yang sama untuk perkembangan profesional mereka.

Biasiswa tersebut membiayai yuran pengajian di universiti dalam atau luar negara serta gaji penuh pegawai sepanjang tempoh pengajian sehingga setahun.

Menurut beliau, pengajian itu akan membantunya memahami dengan lebih mendalam landskap keselamatan sejagat yang semakin kompleks serta bagaimana perkembangan antarabangsa boleh memberi kesan kepada Singapura.

“Saya berharap dapat membawa pulang perspektif baharu yang dapat membantu saya melihat cabaran keselamatan negara dalam konteks yang lebih luas dan menyumbang dengan lebih bermakna di MHA,” kata Cik Atiqah, yang akan mengambil waktu rehat dari kerjanya selama pengajian di RSIS.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau juga pernah bertugas di Kumpulan Eksekutif Krisis Dalam Negeri (HCEG) dan Kumpulan Perkongsian Masyarakat dan Komunikasi yang telah mengasah kemahiran beliau dalam pengurusan respons dan komunikasi semasa krisis. 

Ia merupakan sebahagian daripada pusingan kerja berstruktur yang ditawarkan di MHA.

Menurut beliau, peluang itu telah memainkan peranan penting dalam perkembangan profesionalnya.

“Setiap penempatan umpama memulakan pekerjaan baharu.

“Saya perlu mempelajari kemahiran, isu dan membina hubungan dengan pasukan serta pihak berkepentingan yang berbeza.

“Ini telah mengajar saya untuk lebih berdaya tahan, mudah menyesuaikan diri dan sentiasa bersikap positif,” katanya.

Melalui peluang tersebut, Cik Atiqah dapat menceburi pelbagai bidang yang berkaitan dengan keselamatan dan membolehkannya melihat isu keselamatan dari sudut yang berbeza.

Dengan peluang yang terdapat di MHA dan pengajiannya, Cik Atiqah berharap dapat terus menyumbang kepada keselamatan Singapura dengan lebih menyeluruh.

“Ibu saya menjadi dorongan untuk saya terus bekerja keras dan tidak putus asa kerana saya kagum melihat dedikasinya... Saya berharap dapat membawa pulang perspektif baharu yang dapat membantu saya melihat cabaran keselamatan negara dalam konteks yang lebih luas dan menyumbang dengan lebih bermakna di MHA.”
Cik Nur Atiqah Abdul Razak, penerima Biasiswa Possiswazah MHA.