Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: Lebih peluang bagi guru pendidikan khas tingkat kepimpinan

Kuat kuasa mulai 2025, sedia program struktur bagi sekolah Sped kerjasama dengan MOE
Oct 3, 2024 | 4:04 PM
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (tengah), berinteraksi dengan pelajar Sekolah Admiral Hill semasa pembukaan sekolah tersebut pada 3 Oktober. Bersama beliau ialah (dari kanan) Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar yang juga Presiden Pusat Sumber Autisme (ARC) Singapura, Cik Denise Phua; Pengarah Eksekutif Pusat Rainbow, Cik Tan Sze Wee; dan Pengetua Sekolah Admiral Hill, Cik Jessica Wee.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (tengah), berinteraksi dengan pelajar Sekolah Admiral Hill semasa pembukaan sekolah tersebut pada 3 Oktober. Bersama beliau ialah (dari kanan) Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar yang juga Presiden Pusat Sumber Autisme (ARC) Singapura, Cik Denise Phua; Pengarah Eksekutif Pusat Rainbow, Cik Tan Sze Wee; dan Pengetua Sekolah Admiral Hill, Cik Jessica Wee. - Foto ZAOBAO

Guru dalam Sekolah Pendidikan Khas (Sped) akan mempunyai lebih banyak peluang meningkatkan kecekapan kepimpinan mereka dan bekerjasama dengan karyawan lain untuk mendalami pengetahuan tentang individu kurang upaya dalam sektor tersebut.

Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, mengumumkan daya usaha tersebut pada 3 Oktober semasa pembukaan sekolah terkini Pusat Rainbow (RC), Sekolah Admiral Hill (AHS) di Sembawang.

Semasa berucap di pembukaan AHS, Encik Chan yang turut berkesempatan meninjau kampus itu berkongsi bahawa inisiatif sedemikian adalah usaha ke arah memupuk budaya kerjasama antara pendidikan khas dengan arus perdana.

“Hari ini, kira-kira 50 peratus kepimpinan sekolah Sped datang dari sekolah arus perdana.

“Memandang ke hadapan, saya tidak mahu sekolah Sped, termasuk RC, bekerja dan hanya bergantung pada diri mereka sendiri kerana sebagai satu sektor, kita mesti bersatu dalam menyelaraskan usaha supaya dapat maju bersama-sama.

“Saya berharap semua pemimpin di sekolah Sped akan mempunyai peluang latihan dan pembangunan kepimpinan yang sepadan seperti yang ada di sekolah arus perdana,” ujar beliau.

Berkuat kuasa mulai 2025, Program Pembangunan Kepimpinan Sped, atau Sped Leadership Development Programme (LDP), akan menyediakan proses berstruktur untuk sekolah Sped bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi mengenal pasti, membangun dan mengekalkan pemimpin berpotensi daripada kalangan guru Sped.

Menurut satu kenyataan MOE, guru Sped akan berpeluang mendapat bimbingan daripada pemimpin berpengalaman dalam bidang pendidikan khas dan terlibat dalam projek seluruh sektor dan program pencapaian kepimpinan.

Mentelah lagi, ini selaras dengan matlamatnya untuk mempunyai 28 sekolah Sped yang dibiayai pemerintah dan masyarakat menjelang 2030, meningkat daripada 25 yang ada kini.

Menurut satu kenyataan RC, AHS merupakan sekolah Sped pertama yang direka bentuk dengan ciri mesra autisme dan konsep Bandar Sosial, atau Social Town.

Ia khusus bertujuan menggalak interaksi antara pelajar dengan masyarakat.

Antara kemudahan yang tersedia di AHS adalah kemudahan Asrama Kehidupan Baik, atau Good Life Boarding, iaitu makmal kediaman gaya apartmen untuk pelajar berusia 15 tahun ke atas.

Selain menyelaras aliran kepimpinan untuk guru Sped, MOE akan bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial (SSA) dalam mentadbirkan Komuniti Pengamal Pendidikan Khas, atau Sped Communities of Practice (Sped COPs).

Ia bertujuan menggalak kerjasama antara pendidik dengan karyawan bagi berkongsi amalan terbaik serta menangani cabaran bersama dalam mendidik pelajar dengan ketidakupayaan tertentu.

Ini termasuk mengendalikan bengkel, menghasilkan kertas kajian atau membangunkan sumber baru bagi meningkatkan sektor Sped.

MOE menyatakan bahawa Sped COPs itu akan ditubuhkan secara berperingkat, dengan Cerebral Palsy Alliance Singapore (Cpas) memimpin Sped COPs pertama untuk Pelbagai Ketidakupayaan (MD) menjelang akhir 2024, bersama karyawan daripada SSA lain yang memberikan perkhidmatan kepada pelajar dengan MD.

Sped COPs untuk profil ketidakupayaan lain seperti autisme akan diperkenalkan mulai 2025 dan seterusnya.

Turut hadir di acara itu ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar yang juga Presiden Pusat Sumber Autisme (ARC) Singapura, Cik Denise Phua; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Dr Lim Wee Kiak.

Mengulas mengenai program LDP itu, Pengetua AHS, Cik Jessica Wee, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa inisiatif tersebut akan melengkapkan lagi usaha yang digunakan dalam membangunkan pemimpin mereka sendiri.

“Dengan LDP ini, ia benar-benar memperluas peluang kita untuk berinteraksi dengan sekolah arus perdana dan belajar daripada mereka.

“Ia adalah penting untuk pembelajaran silang antara pendidik Sped dengan arus perdana, yang memperkayakan masyarakat dengan kumpulan pemimpin sekolah yang berpengalaman dan pelbagai.

“Ia sangat tepat pada masanya kerana kita perlu mewujudkan saluran pemimpin sekolah,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg