Pendekatan baru terhadap kurasi atau pilihan dan cara berita berbahasa Melayu diketengahkan secara umumnya merupakan sesuatu yang didambakan golongan muda.
Walaupun mereka ingin mengetahui berita terkini, maklumat yang diketengahkan biasanya disifatkan agak berat atau sukar untuk dihadam.
Demikian rata-rata dikongsi hadirin yang ditemui Berita Harian (BH) dalam majlis Pesta Pelancaran OMGxBH pada 30 Ogos di Maktab Seni LaSalle.
OMG, atau Orang Muda Gitew, merupakan wadah BH terkini bagi menjangkau audiens baru dan disasarkan kepada golongan dewasa berusia antara 21 dengan 34 tahun.
Padat dengan maklumat mengenai isu-isu yang dekat di hati golongan muda, ia saling melengkapi kandungan wadah cetak dan digital BH yang sedia ada melalui format interaktif berteraskan wadah media sosial.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Sekitar 200 hadirin menghadiri acara tersebut, yang turut menyaksikan penyanyi tanah air, Iman Fandi, mendendangkan lagu barunya berjudul, That Girl, kepada hadirin.
Antara hadirin dalam majlis itu, Cik Anda Chaudhry, 28 tahun, berkata saluran berita tradisional – seperti akhbar BH – penting dan harus dikekalkan.
Namun, format sesebuah berita itu diketengahkan, baik di wadah media sosial mahupun wadah tradisional seperti akhbar, harus diolah agar ia mudah dihadam.
Lebih-lebih lagi bagi golongan muda sepertinya kerana tempoh perhatian yang amat singkat, ujarnya.
Pencipta kandungan itu menjelaskan: “Apabila saya membaca berita ehwal semasa misalnya, ia kadangkala amat membosankan atau terlalu berat untuk dihadam.
“Wadah seperti OMGxBH sangat penting untuk bantu golongan muda hadam berita.”
Hal sedemikian turut dikongsi Iman Fandi kerana baginya, laporan tidak harus berpaksi pada format tradisional semata-mata.
Di sebalik berita, kupasan sesebuah berita agar ia dapat diberi konteks juga sama penting, khususnya terhadap apa yang berlaku di Singapura, katanya.
“Saya rasa dengan apa yang OMGxBH lakukan kini sudah cukup hebat.
“Ia tidak hanya mengetengahkan berita, ia juga memberi kupasan mendalam terhadap makna berita itu dan kesannya kepada Singapura… lebih-lebih lagi kaitannya dengan golongan muda.
“Jadi ini (OMGxBH) wadah yang golongan muda boleh manfaatkan bagi memahami apa yang berlaku di sekitar mereka,” tambah beliau.
Namun, kupasan mendalam terhadap sesuatu berita mungkin tidak akan berkesan jika format penyampaiannya tidak sesuai bagi audiens tertentu.
Inilah sebabnya keberkesanan format penyampaian menjadi kunci untuk, “menjangkau golongan muda”, secara khusus, kongsi Cik Syarifah Asyura Jaffer Sadique.
Beliau mendapat tahu tentang majlis pelancaran ini melalui Siri Jauhari, salah satu inisiatif OMGxBH untuk menyerlahkan tokoh-tokoh teladan bagi golongan muda melalui sesi perkongsian.
Antara tokoh yang pernah dijemput adalah sesi bersama mantan Presiden, Puan Halimah Yacob – yang mencuba gelagat dan gaya Gen Z bersama OMGxBH.
Pelajar jurusan Komunikasi Massa dari Politeknik Republic itu berkongsi bahawa golongan muda kini lebih cenderung dengan video singkat yang memudahkan penghadaman sesuatu berita – salah satu pendekatan yang diguna pakai OMGxBH.
“Video singkat ini bukan setakat pendek dari segi tempoh, malah padat dengan maklumat.
“Saya rasa format seperti ini yang golongan muda inginkan,” ujarnya.
Sungguhpun isu kurasi penyampaian menjadi keutamaan sebahagian besar hadirin yang disantuni BH, ada juga yang menyatakan isu atau kandungan yang diserlahkan menjadi salah daya tarikan sesuatu wadah.
Hal sedemikian dikongsi Cik Nur Adeela, 23 tahun, yang menyatakan bahawa sesebuah wadah juga harus peka dengan ingin isu-isu yang menyelubungi golongan yang ditujukan.
Pelajar Maktab Seni LaSalle itu berkata: “Saya rasa OMGxBH ini ibarat panduan (sumber maklumat) bagi anak muda seperti saya untuk dapatkan maklumat-maklumat secara mudah kerana mereka begitu ‘up-to-date’ mengikuti trend-trend masa kini.
“Saya harap agar isu-isu yang membelenggu masyarakat dapat dikemukakan, terutama dalam masyarakat Melayu Singapura.”
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dalam ucapan aluannya, berkongsi bahawa sejak dilancarkan pada Disember 2023, OMGxBH kini mempunyai lebih 37,000 pengikut di wadah TikTok, Instagram dan YouTube – melebihi sasaran 16,500 yang diletakkan bagi tempoh setahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg