Sedang siren berbunyi pada sekitar 9 pagi di sebahagian padang golf Sembawang Country Club (SCC), tentera udara yang sebahagiannya berseragam biru dan sebahagiannya pula mengenakan seragam juruterbang, memecut laju untuk melintasi padang rumput ke ruang di mana satu kegiatan simulasi berlangsung.
Di situ, dua helikopter penyerang Apache Longbow AH-64D Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dikerahkan untuk menangani ancaman simulasi dan berjaya berlepas ke udara dalam beberapa minit kemudian.
Operasi tersebut merupakan sebahagian latihan berterusan yang dikenali sebagai Exercise Rover, dan disaksikan Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 27 Mei.
Mengulas tentang lawatan beliau semasa sesi bertemu media di Kem Nee Soon kemudian, beliau berkongsi bahawa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mesti sentiasa berada di hadapan dengan meramalkan dan bersiap sedia menghadapi ancaman yang bakal muncul walaupun terus menangani cabaran keselamatan semasa dengan berkesan.
“Pegawai SAF sentiasa berusaha untuk bertanya kepada diri mereka sendiri apakah cabaran baru yang sedang muncul… dan apakah juga teknologi baru yang membolehkan kita membina keupayaan baru untuk mengatasi sebahagian daripada cabaran ini.
“Saya amat gembira melihat SAF sentiasa menilai semula cara ia melaksanakan operasinya, dan ini memberikan saya keyakinan bahawa kita akan berada dalam keadaan yang baik pada masa akan datang,” kongsi beliau.
Dalam lawatan pertamanya sejak menyandang portfolio pertahanan, Encik Chan juga menyaksikan latihan siap siaga operasi oleh unit berkeupayaan tinggi daripada Tentera Darat Singapura, Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS).
Lawatan tersebut turut merangkumi tinjauan ke Exercise Rover, di mana Encik Chan menyaksikan Markas Penjana Kuasa Udara (APCG) daripada RSAF mempersembahkan keupayaan kerahan dua helikopter penyerang Apache Longbow AH-64D di sebahagian padang golf SCC.
Turut mengiringi Encik Chan semasa lawatan itu adalah Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo.
Antara pegawai kanan SAF yang mengiringi beliau termasuk Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya Aaron Beng, Setiausaha Tetap (Pertahanan), Encik Chan Heng Kee, dan Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan), Encik Melvyn Ong.
Sebagai sebahagian usaha Encik Chan yang berjawatan Mejar-Jeneral sebelum menyertai politik, beliau mendekati semula SAF dan bertemu Pasukan Pengerahan Tentera Darat (ADF) di Kem Nee Soon.
Di sana, Encik Chan menyaksikan anggota tentera ADF memasang peralatan ke dalam Kenderaan Respons Berperisai Peacekeeper (PRV) sebagai sebahagian latihan rutin mereka.
ADF, yang disifatkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan media pada 26 Mei sebagai sebuah unit “berkeupayaan tinggi” yang dilengkapi dengan kemahiran dan keupayaan khusus untuk melaksanakan pelbagai operasi, termasuk respons terhadap ancaman keselamatan dalam negera dan bantuan bencana.
Ini juga di samping memerhatikan latihan Pasukan Petugas Keselamatan Maritim daripada RSN dalam mengaburkan serangan simulasi pengganas terhadap Singapura dari laut.
Encik Chan juga diberi taklimat oleh Komando Perisikan Bersama (JIC) di bawah DIS mengenai sokongan perisikan mereka bagi operasi menentang keganasan.
Beliau juga berinteraksi dengan anggota JIC yang menjalankan pemantauan perisikan sepanjang masa bagi menyokong amaran awal dan membuat keputusan untuk operasi SAF.
Ditubuhkan pada Oktober 2022, DIS adalah Perkhidmatan keempat dalam SAF yang bertanggungjawab untuk membentuk, melatih dan mengekalkan pasukan dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan Singapura daripada ancaman yang semakin berkembang dan kompleks dalam domain digital.
Dalam pada itu, Encik Chan bangga dengan kemajuan SAF saban tahun dan menekankan bahawa SAF akan terus bersiap sedia demi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara dalam dunia kini yang sedang mengalami perubahan.
“Seperti yang anda tahu, kita berada dalam dunia yang berubah. Terdapat cabaran baru, gangguan baru yang disebabkan oleh teknologi, kuasa baru yang kita perlu hadapi.
“Banyak daripada perkara yang saya saksikan pagi ini – antaranya merupakan keupayaan yang telah kita bincangkan sejak bertahun-tahun lalu, dan hari ini amat menggembirakan untuk melihatnya berjaya digerakkan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg