Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eng Hen: SAF jaya disusun semula tangani ancaman baru

Puji respons kepimpinan SAF yang progresif ubah andaian lama, luaskan peranan
May 13, 2025 | 9:00 PM
 Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen berkata Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah berjaya menyusun semula dirinya untuk memenuhi keperluan pertahanan masa depan Singapura yang merangkumi kesediaan melangkaui peperangan fizikal.
 Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen berkata Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah berjaya menyusun semula dirinya untuk memenuhi keperluan pertahanan masa depan Singapura yang merangkumi kesediaan melangkaui peperangan fizikal. - Foto ST

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah berjaya disusun semula untuk memenuhi keperluan pertahanan masa depan Singapura yang merangkumi kesediaan melangkaui peperangan fizikal dan keupayaan ketenteraan fizikalnya berdasarkan konflik masa lalu sahaja.

Sebaliknya, ia telah meluaskan skop misinya dan menangani ancaman dalam ruang digital dan “zon kabur”, di mana ancaman baru muncul dan boleh memberi kesan besar kepada Singapura, kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen pada 13 Mei.

Beliau berkata demikian kepada media di Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam temuramahnya terakhir selaku Menteri Pertahanan berikutan pengumuman persaraan daripada politik selepas 24 tahun berkhidmat.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Ng, 66 tahun yang menjadi Menteri Pertahanan sejak 2011, memetik bagaimana ancaman baru boleh menjejas perpaduan sosial, sistem siber, dan bagaimana “zon kabur” ini telah memaksa SAF menjadi lebih responsif kepada ancaman sedemikian semasa negara menikmati masa aman.

Walaupun Singapura tidak menghadapi sebarang bentuk peperangan fizikal, Dr Ng berkata SAF telah meningkatkan keupayaannya menentang ancaman baru yang mungkin tidak ditemui pada masa lalu, seperti peperangan hibrid, peperangan maklumat dan peperangan dron.

“Bayangkan seseorang cuba menjejas perpaduan sosial anda...menyusup sistem siber anda... menumbangkan infrastruktur awam anda... cuba mencuri maklumat... cuba menyasarkan anda, malah pilihan raya anda.

“Seseorang menyusup ke sistem anda, semua ini berlaku semasa masa aman. Sekarang, tugas siapa (untuk melindungi kita) semasa masa aman ini? Dan itu mengaburkan garis antara keamanan dan perang,” ujar Dr Ng yang menyertai politik pada 2001.

Menurut beliau, andaian lama bahawa Singapura mempunyai keupayaan ketenteraan yang kuat dan negara lain akan berfikir dua atau tiga kali sebelum berkonflik dengan negara kecil itu adalah satu kelemahan bagi SAF.

Mujur, apabila beliau menarik perhatian tentang hal ini, kepimpinan SAF bersikap progresif dan membantu beliau menangani andaian yang telah lama dipertahankan mengenai kesediaan ketenteraan sepanjang berada

“Apa yang saya perlu lakukan ialah menarik perhatian mereka tentang andaian ini dan kita perlu menanganinya dengan serius, dan kita perlu menyusun semula untuk memenuhi keperluan masa depan,” kata Dr Ng.

Beliau menambah “andaian lama yang dipegang sedemikian mungkin sudah lapuk dan usang” dan Singapura tidak mampu mengukuhkan pertahanannya berdasarkan apa yang telah dipelajari daripada konflik masa lalu sahaja.

Beliau menukil contoh bagaimana Ukraine membangunkan keupayaan baru dalam peperangan dron, yang tidak pernah difikirkan oleh banyak negara sebelum ini.

“Tiada siapa yang jangkakan bahawa peperangan dron akan menjadi sebahagian daripada kempen ketenteraan. Tiada siapa yang membayangkan skala itu. Ukraine kini boleh menghasilkan 4 juta dron setahun. Fikirkan tentang jumlah konflik.

“Tiada siapa yang jangkakan keupayaan maklumat untuk mempunyai God’s Eye View (pandangan dari langit) di medan perang dari saat anda meninggalkan tempat asal anda hingga anda sampai ke destinasi. Seseorang melihat anda sepanjang masa, dan orang awam melihat anda dan kemudian melaporkan perisikan anda kembali,” kata Dr Ng.

Beliau juga memetik bagaimana pengganasan tidak lagi “datang dalam pakaian seragam” tetapi boleh datang ke Singapura dalam pelbagai bentuk.

Beliau memuji bagaimana SAF telah mengubah cara ia menangani ancaman pengganasan apabila ia menyedari bahawa beberapa model terdahulunya sudah lapuk.

“Kami perlu mempunyai maklumat secepat mungkin dan perisikan kami perlu dipertingkatkan untuk mengetahui ancaman, kumpulan pengganas, yang sedang membina kekuatan ataupun mengagregatkan senjata.

“Ia memaksa anjakan paradigma untuk SAF menyedari bahawa “garisan kabur” ini meluaskan skop misi mereka, sama ada dalam ruang digital, apa yang kita panggil zon kelabu, ruang hibrid, tetapi ia juga bermakna SAF, walaupun masa aman, mempunyai tempo yang meningkat,” kata Dr Ng.

Walaupun beliau gembira dengan respons SAF untuk meningkatkan kesediaannya untuk menentang ancaman yang baru muncul, Dr Ng berkata “satu-satunya ujian sebenar datang dalam krisis sebenar”.

“Tiada siapa yang menginginkannya untuk Singapura. Tetapi saya boleh katakan, sepenuh hati, bahawa kami telah melakukan yang terbaik,” kata Dr Ng.

Sepanjang kerjaya politiknya, Dr Ng telah memegang pelbagai peranan kabinet termasuk Menteri Pendidikan dan Menteri Tenaga Manusia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg