Lebih 1,000 askar daripada tentera Singapura dan Amerika Syarikat menjalani latihan perang dengan sokongan udara dari helikopter Apache Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan dron dalam latihan dua hala selama 12 hari.
Pada 2025, Singapura menjadi tuan rumah Latihan Tiger Balm, iaitu latihan dua hala terpanjang antara Singapura dengan Amerika.
Dalam satu kenyataan pada 16 Mei, Kementerian Pertahanan (Mindef) menyatakan seramai 823 askar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan 257 askar Amerika menyertai latihan tersebut, lapor The Straits Times.
Latihan itu berlangsung hampir dua minggu – dari 5 hinggs 16 Mei – dengan pelbagai latihan tempur, termasuk latihan perang dalam persekitaran bandar di Bandar Safti.
Bandar Safti ialah kemudahan latihan berteknologi tinggi yang menyerupai bandar lengkap dengan stesen MRT, hotel 12 tingkat, sekolah dan pusat beli-belah.
Selain helikopter AH-64D Apache dan dron Heron 1 dari RSAF, pasukan Strike Observer Mission turut melakukan kerja pengawasan sepanjang latihan itu.
Pertukaran kepakaran juga diadakan, untuk berbincang mengenai ancaman bahan kimia, biologi, radiologi dan bahan letupan.
Brigedier-Jeneral Anand Sathi Kumar berkata latihan kali ini merangkumi misi pertempuran bandar yang baru dan teknologi tanpa pemandu sebagai sebahagian daripada latihan.
Menurutnya, latihan tersebut mengukuhkan hubungan strategik antara Singapura dengan Amerika.
Kini memasuki tahun ke-44, Latihan Tiger Balm pertama kali diadakan pada 1981.
Mindef menyatakan: “Latihan tahunan ini membolehkan kededua tentera berkongsi taktik, teknik dan prosedur, serta sebagai satu simbol hubungan baik antara kededua tentera.
“Interaksi berkala ini telah memupuk dan meningkatkan profesionalisme, persahabatan dan sikap saling memahami antara anggota kededua tentera.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg