Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: Penjawat awam harus tonjol piawaian kelakuan tinggi

Penting supaya rakyat kekal yakin terhadap integriti pemerintah
Oct 14, 2024 | 5:10 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing. - Foto MDDI

Piawaian kelakuan yang tinggi amat diharapkan daripada semua penjawat awam, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, pada 14 Oktober.

Di Singapura, penjawat awam tidak boleh menerima atau mendapatkan hadiah daripada orang yang berurusan dengan mereka secara rasmi.

Jika tidak, keyakinan orang ramai terhadap kesaksamaan dan integriti pemerintah akan terjejas, tambahnya.

“Ini juga merupakan etos yang diharapkan oleh rakyat Singapura terhadap pemimpin dalam semua organisasi, sama ada swasta atau awam,” kata Encik Chan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata demikian di Parlimen, bagi pihak Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, kepada soalan yang dibangkitkan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai kesesuaian Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan kesannya terhadap perkhidmatan awam yang lebih meluas.

Pada 3 Oktober, bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran, telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan, termasuk empat pertuduhan di bawah Seksyen 165 kerana mendapatkan barangan berharga sebagai penjawat awam.

AP Parti Pekerja, Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied), telah bertanya sama ada takrif penjawat awam di bawah Kanun Keseksaan sesuai untuk tujuan kesalahan di bawah Seksyen 165, dan jika undang-undang antirasuah Singapura perlu dikaji semula untuk keberkesanan yang lebih besar.

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) dan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) juga bertanya sama ada Seksyen 165 boleh menghalang individu dan bakat terbaik daripada sektor swasta daripada menyertai atau menyumbang kepada perkhidmatan awam.

Dalam jawapannya, Encik Chan berkata peraturan itu tidak akan menghalang orang baik daripada menyertai atau menyumbang kepada perkhidmatan awam.

“Sebaliknya, jika kita tidak mempunyai etos atau sistem yang memastikan pemerintahan yang bersih dan jujur, kita tidak akan dapat menarik orang yang betul daripada sektor swasta untuk menyertai kita,” katanya.

Takrif penjawat awam secara am merangkumi pegawai awam di bawah penggajian perkhidmatan awam dan pelbagai individu yang melaksanakan tugas awam bagi pihak pemerintah.

Mengenai sama ada undang-undang antirasuah perlu dikaji semula, Encik Chan berkata tidak seharusnya ada reaksi yang mendadak untuk segera mengetatkan atau menambah lebih banyak peraturan apabila seseorang itu membuat kesalahan.

Sekiranya peraturan itu jelas, tetapi dilanggar atau diabaikan, apa yang perlu dilakukan ialah mengambil tindakan tegas terhadap pesalah dan bukannya melaraskan peraturan.

Sekiranya peraturan itu tidak jelas, ia perlu dijelaskan atau dipermudahkan dan jika ia terlalu longgar atau tidak meliputi situasi baru, peraturan tersebut harus dikemas kini, tambah Encik Chan.

“Perkembangan baru-baru ini menunjukkan bahawa kita tidak lari daripada melakukan perkara yang betul untuk menegakkan kepercayaan rakyat Singapura terhadap pemerintah, dan inilah yang kami akan terus lakukan,” katanya.

Semasa di Parlimen, Cik Lim berkata selepas hukuman Iswaran, Encik Wong telah mengeluarkan kenyataan mengenai keperluan untuk bertindak menentang rasuah.

Iswaran pada Januari didakwa atas dua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah, tetapi ini telah dipinda pada permulaan perbicaraan pada September kepada pertuduhan kurang berat di bawah Seksyen 165.

Menjawab Cik Lim, Encik Chan berkata Seksyen 165 adalah pertuduhan rasuah dan perbezaannya dengan Akta Pencegahan Rasuah adalah, di bawah Seksyen 165, tidak ada keperluan untuk membuktikan kedua-dua belah pihak telah meraih manfaat daripada perkara itu.

Malah, pertuduhan di bawah Seksyen 165 hanya perlu membuktikan bahawa seseorang itu telah mengambil barang tersebut, kata Encik Chan.

“Ini juga merupakan etos yang diharapkan oleh rakyat Singapura terhadap pemimpin dalam semua organisasi, sama ada swasta atau awam. ... Sebaliknya, jika kita tidak mempunyai etos atau sistem yang memastikan pemerintahan yang bersih dan jujur, kita tidak akan dapat menarik orang yang betul daripada sektor swasta untuk menyertai kita.”
Menteri Pendidikan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg