Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iswaran tidak rayu terhadap hukuman; dipenjara mulai 7 Okt

Oct 7, 2024 | 7:31 PM
Bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran, berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakannya dan memohon maaf tidak terhingga kepada semua rakyat Singapura.
Bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran, berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakannya dan memohon maaf tidak terhingga kepada semua rakyat Singapura. - Foto ST

Bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran, tidak membuat rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atasnya pada 3 Oktober.

Iswaran tiba di Mahkamah Negeri kira-kira 3.30 petang pada 7 Oktober untuk memulakan hukuman penjara itu. Dia ditemani seorang saudaranya ketika berjalan ke mahkamah untuk menyerahkan diri sebelum tarikh akhir 4 petang, lapor The Straits Times.

Dalam satu kenyataan di Facebook untuk mengatakan dia tidak akan membuat rayuan, Iswaran, 62 tahun, berkata:

“Adalah penting bagi saya bahawa pendakwa raya meminda pertuduhan terhadap saya di bawah Akta Pencegahan Rasuah kepada pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung penerimaan hadiah oleh penjawat awam.

“Saya terima bahawa sebagai menteri, apa yang saya lakukan adalah salah di bawah Seksyen 165. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya dan memohon maaf tidak terhingga kepada semua rakyat Singapura.”

Iswaran menambah bahawa kesan terhadap kesejahteraan keluarganya dan kesan emosi terhadap orang disayanginya daripada perbicaraan panjang yang mungkin berlarutan hingga 2025, atau lebih lama, sangat membebankan fikirannya.

“Tempoh 15 bulan yang lalu sudah sangat sukar. Dengan keputusan ini, saya berharap kami dapat meletakkan penderitaan dan kesedihan itu di belakang kami agar dapat bergerak ke hadapan dan membina semula kehidupan kami bersama-sama,” tambahnya.

Iswaran berterima kasih kepada mereka yang menyokongnya dan membantunya dalam menghadapi siasatan itu, sambil berkata dia terharu akan kasih sayang, doa dan sokongan keluarganya.

“Saya terhutang budi kepada rakan-rakan dan pemimpin akar umbi atas sokongan, kepercayaan dan dorongan yang tidak putus-putus.

“Saya berterima kasih kepada peguam saya, dan juga kepada ramai yang telah menyatakan keprihatinan dan sokongan mereka kepada saya, secara peribadi dan melalui media sosial,” katanya, sambil menambah bahawa berkhidmat kepada pengundinya dan rakyat Singapura sejak tiga dekad lalu adalah satu penghormatan terbesar baginya.

“Apabila bab dalam hidup saya ini berakhir, saya dan keluarga akan melihat masa depan dengan rasa syukur dan harapan baru,” ujarnya.

Iswaran dijatuhkan hukuman penjara selepas dia mengaku bersalah bagi lima pertuduhan.

Empat pertuduhan kerana mendapatkan barangan berharga sebagai penjawat awam daripada Ong Beng Seng, pengerusi promoter perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Singapore GP, dan Encik David Lum, pengarah urusan syarikat pembinaan Lum Chang Holdings.

Pertuduhan kelima adalah kerana menghalang proses keadilan dengan membuat pembayaran $5,700 bagi penerbangan kelas perniagaan yang dinaikinya dari Doha ke Singapura pada 2022 atas perbelanjaan Ong.

Iswaran membuat bayaran itu untuk mengelirukan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), yang menemui namanya dalam manifes penerbangan yang mereka rampas semasa menyiasat rakan Ong.

Hukuman penjara yang dikenakan terhadap Iswaran hampir sekali ganda lebih panjang dari tempoh enam hingga tujuh bulan yang dituntut pihak pendakwaan. Peguamnya, Peguam Kanan Davinder Singh, meminta hukuman penjara tidak lebih lapan minggu.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Vincent Hoong berkata pendakwaan dan pembelaan meminta hukuman penjara yang “secara nyata tidak mencukupi”.

Beliau berkata pencegahan am, yang bertujuan memberi contoh kepada orang lain yang melakukan kesalahan, adalah pertimbangan utama dalam keputusan hukumannya.

Beliau menambah bahawa Iswaran, sebagai menteri dan pengerusi jawatankuasa pemandu F1, mempunyai pengaruh dalam perkara yang mempunyai kepentingan awam yang besar, walaupun tidak ada bukti pemberian itu mempengaruhi keputusan berhubung F1 atau kontraknya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg