Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: Penjawat awam perlu laksana setiap tugas dengan baik, hormat semua
Chun Sing: Penjawat awam perlu laksana setiap tugas dengan baik, hormat semua
Seramai 74 terima biasiswa dalam Majlis Anugerah Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam 2026, jumlah tertinggi sejak 2019
Chun Sing: Penjawat awam perlu laksana setiap tugas dengan baik, hormat semua
Usah memandang remeh kepada tugas yang diberikan walau sekecil apapun dan jangan memandang rendah kepada orang berdasarkan pangkat atau jawatan, pesan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, kepada sekalian penjawat awam dan penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) 2026.
Sewaktu berucap di Majlis Anugerah Biasiswa PSC 2026 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 24 Julai, beliau berkata:
“Jangan pandang remeh terhadap tugas kecil yang diberikan kepada anda.
“Lakukan dengan baik dan rasa penuh bangga.
“Jangan sekadar mencari makna, tetapi berilah makna dalam setiap perkara yang anda lakukan.
“Jangan juga memandang rendah pada orang lain, khususnya orang di luar Singapura.
“Jangan pandang mereka kerana pangkat atau jawatan tetapi lihat semua orang dengan nilai dan bina hubungan bersama mereka.
“Kita juga harus membina jaringan bukan sahaja dalam lingkungan perkhidmatan awam, malah, di luarnya juga.”
Hubungan seperti itu yang akan meletak kita dalam keadaan yang baik tatkala Singapura cuba untuk menempuhi cabaran dalam beberapa dekad akan datang,” tambah Encik Chan.
Encik Chan, yang juga merupakan Menteri Pertahanan, turut mengingatkan mereka yang hadir agar membina pasukan dengan niat untuk mempertingkatkan taraf setiap anggota dalam misi perkhidmatan sebagai penjawat awam.
“Dalam perkhidmatan awam, kejayaan tidak diukur berdasarkan pencapaian peribadi semata-mata.
“Kejayaan ditentukan oleh sumbangan kita dalam cara kita mempertingkatkan diri orang lain demi melaksanakan misi kita sebagai penjawat awam.
“Tugas kita adalah untuk melihat versi yang terbaik dalam diri setiap orang, agar dapat bersama membantu Singapura mencapai apa yang dahulunya kelihatan sebagai sesuatu yang mustahil,” tambah beliau.
Pada 2026, terdapat seramai 74 penerima biasiswa PSC, jumlah tertinggi sejak 2019.
Para penerima biasiswa itu bakal melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang, sama ada di universiti tempatan atau di luar negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, China dan Jepun.
Mengulas sedikit tentang proses pemilihan penerima biasiswa tersebut, Encik Chan berkongsi bahawa saban tahun banyak yang telah berubah, termasuk rangka kerja pembangunan dan pengerahan.
Namun, beliau menegaskan, kemunculan kecerdasan buatan (AI) tidak akan menggantikan proses pemilihan yang sedia ada.
“Hari ini, ramai yang akan bercakap tentang AI dan barangkali tentang penggunaan AI dalam sistem pemilihan penerima biasiswa.
“Namun, kami akan sentiasa percaya tiada apa yang akan dapat menggantikan penilaian anggota PSC dalam proses pemilihan itu,” kata beliau.
“
“Dalam perkhidmatan awam, kejayaan tidak diukur berdasarkan pencapaian peribadi semata-mata. Kejayaan ditentukan oleh sumbangan kita dalam cara kita mempertingkatkan diri orang lain demi melaksanakan misi kita sebagai penjawat awam. Tugas kita adalah untuk melihat versi yang terbaik dalam diri setiap orang, agar dapat bersama membantu Singapura mencapai apa yang dahulunya kelihatan sebagai sesuatu yang mustahil.”