Hubungan Singapura dengan United Kingdom (UK) adalah sesuatu yang pasti, sedang “dunia di sekeliling kita seakan hilang arah,” kata Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan) bagi Kementerian Pertahanan (Mindef), Encik Melvyn Ong.
Di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan gangguan di seluruh dunia, adalah penting untuk mencari kepastian dalam hubungan ini, kata Encik Ong semasa pembukaan pameran perdagangan industri pertahanan di atas kapal pengangkut pesawat Britain, HMS Prince of Wales.
Encik Ong, mantan Ketua Pasukan Pertahanan Singapura, berkata:
“Kepastian dalam hubungan kami dengan UK adalah antara perkara yang terus kami harapkan, dan hakikat bahawa kami dapat berdiri di sini, ketika dunia di sekeliling seakan hilang arah, menjadi bukti terhadap persahabatan yang kekal, hubungan berlanjutan dan kepercayaan berpanjangan.”
Sekitar 30 syarikat Britain mengadakan pameran di hangar kapal sepanjang 284 meter itu – kapal utama dalam kumpulan kapal serangan pelbagai negara diketuai Britain, yang berlabuh di Pusat Kapal Pelesiran Marina Bay (MBCC) Singapura pada 23 Jun.
Kunjungan itu adalah sebahagian daripada kerahan lapan bulan yang dikenali sebagai, ‘Operasi Highmast’, yang berlepas dari Britain pada April.
Kapal dalam kumpulan itu berlayar dari Atlantik ke Pasifik, dengan tujuan memastikan kestabilan di Indo-Pasifik, lapor The Straits Times (ST).
Menteri Negara Britain bagi Pertahanan, Lord Vernon Coaker, yang turut berucap pada pembukaan tersebut, berkata hangar kapal pengangkut pesawat itu merupakan lokasi ideal untuk mempamerkan pelbagai teknologi terkemuka dunia dari UK dan Singapura, serta inovasi syarikat pertahanan masing-masing.
Beliau menarik perhatian bahawa acara tersebut berlangsung pada bulan yang sama Britain menerbitkan kajian pertahanan strategik, yang menamakan Singapura sebagai rakan kongsi utama.
“Ini mencerminkan komitmen kami untuk membangunkan kerjasama pertahanan dan keserasian operasi sebagai rakan kongsi dalam Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA).
“Kajian ini menjelaskan bahawa dasar kami yang meletakkan Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) sebagai keutamaan tidak bermakna kami hanya bergantung kepada Nato sahaja,” katanya.
Selain Singapura dan UK, Malaysia, New Zealand dan Australia turut menganggotai FPDA, yang dijangka mengadakan latihan tahunan, Bersama Lima, pada September.
Kapal HMS Prince of Wales dijadual menyertai latihan tersebut – kapal pengangkut pesawat pertama yang berbuat demikian sejak 1997.
Kunjungan tersebut merupakan peluang yang jarang berlaku bagi industri pertahanan dan syarikat teknologi baru untuk memperkenalkan produknya, kata Encik Marcus Ralphs, Ketua komersial Perusahaan bagi Whitespace – sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) yang teknologinya digunakan pada kapal HMS Prince of Wales.
Syarikat tersebut menyediakan wadah AI untuk pertubuhan yang mempunyai keperluan keselamatan tinggi, seperti tentera.
Kunjungan tersebut sangat bernilai untuk menunjukkan bahawa pemain industri dari UK dan Singapura boleh bekerjasama secara berkesan bukan sahaja sebagai syarikat individu, malah secara bersama, katanya di luar acara tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg