Kekuatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) terletak pada perpaduan para anggotanya serta keyakinan antara satu sama lain sebagai tentera dan warga Singapura.

Perpaduan dan keyakinan ini terbina atas dasar kepercayaan yang diberikan tanpa mengira latar belakang seperti kaum, bahasa dan agama.

Menyatakan demikian semasa satu episod podcast, terbitan Berita Harian (BH), NoTapis, sempena Hari SAF yang jatuh pada 1 Julai, Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berkata dengan adanya lebih ramai individu Melayu/Islam memegang jawatan tinggi dalam ketenteraan, ia menandakan usaha padu SAF sejak 20 tahun yang lalu.

Antara mereka yang dipetik Encik Chan termasuk Panglima Markas Pasukan Pertahanan Rakyat Kedua, Kolonel Muhammad Helmi Khaswan, dan Ketua Pegawai Infantri/ Panglima Divisyen Kesembilan SAF, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan.

Mengulas lanjut, Encik Chan berkata:

“Contohnya seperti BG Fairoz dan Kolonel Helmi. Mereka tidak ‘muncul’ secara tiba-tiba. Mereka telah dibentuk dan diasah sejak berkhidmat (dalam tentera) daripada usia muda bersama saya.

“Hasilnya kita lihat hari ini, adanya orang tertentu memegang jawatan tinggi dalam SAF (khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu), menandakan usaha sejak 20 tahun lalu untuk melantik mereka yang sesuai.

“Jika 20 tahun sebelum ini, saya diajukan soalan yang sukar berkenaan ketiadaan pegawai daripada masyarakat tertentu memegang jawatan tertentu, saya akan fikir ia disebabkan 20 tahun yang sebelumnya kita tidak meluangkan masa yang cukup untuk merekrut mereka yang sesuai.”

Namun, beliau menegaskan kelayakan individu daripada masyarakat Melayu untuk memegang jawatan tinggi dalam ketenteraan bukanlah satu cenderahati.

Malah, bakat mereka telah dicungkil, diasah dan ‘dilindung’ sebelum diberi tanggungjawab yang lebih berat untuk memimpin.

Encik Chan turut berkongsi pegawai tentera yang telah dikenal pasti dan diasuh sejak usia muda bukan sahaja telah dilatih dan kemahiran mereka dikembangkan.

Mereka juga telah dipastikan agar tidak dibebani tekanan yang sia-sia hingga boleh menjejas prestasi mereka.

“Apabila pegawai tentera muda digilap kemahirannya, antara cabaran besar ialah untuk ‘melindungi’ mereka.

“Kita tidak ingin meletakkan tekanan yang berlebihan seperti bebanan untuk mewakili masyarakat tertentu.

“Kita ingin mereka dipandang di atas kemahiran mereka dan bukan kerana mereka diletakkan dalam satu jawatan sebagai cenderahati,” jelas beliau.

Justeru, amanah yang diletakkan pada bahu individu Melayu/Islam mencerminkan kepercayaan terhadap kebolehan mereka untuk berbakti kepada negara di peringkat lebih tinggi.

“Dalam SAF, lumrahnya kita digalakkan untuk hidup dan kerja bersama-sama tanpa mengenal kaum, bahasa dan agama.

“Itulah keindahan sistem di Singapura, tatkala kita dibentuk untuk menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap sesama sendiri, tanpa mengira latar belakang.

“Dengan hal demikian, ia akan mengeluarkan potensi terbaik dalam diri masing-masing,” kata Encik Chan.