Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadet pakar pelatih wanita di Polis Tentera raih Anugerah Bayonet Emas

Nov 20, 2025 | 9:00 PM
Polis Tentera, Anugerah Bayonet Emas, Sarjan Ketiga (3SG) Nurin Qhaireena Abdul Razak
Sarjan Ketiga (3SG) Nurin Qhaireena Abdul Razak, 20 tahun, baru-baru ini menamatkan Kursus Kadet Pakar Polis Tentera (MPSCC) dalam Perbarisan Tamat Kursus Kadet Spesialis (SCGP) yang ke-65 pada 20 November di Kem Pasir Laba.  - Foto BH oleh DESMOND WEE

Menjalani latihan Kursus Kadet Pakar Polis Tentera (MPSCC) sememangnya cukup mencabar bagi seorang wanita, apa lagi apabila menggalas amanah memimpin sebuah pasukan yang terdiri daripada 30 lelaki.

Namun, bagi Sarjan Ketiga (3SG) Nurin Qhaireena Abdul Razak, 20 tahun, keadaan itu menjadi pemangkin untuk beliau berusaha lebih keras.

3SG Nurin merupakan salah seorang daripada 898 Kadet Pakar Pelatih (SCT), yang menamatkan latihan selama 22 minggu pada Perbarisan Tamat Kursus Kadet Pakar (SCGP) ke-65 pada 20 November di Kem Pasir Laba.

Jumlah ini terdiri daripada anggota Tentera Darat, Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), serta Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS).

Lebih menyentuh perasaan, atas kegigihan dan prestasinya juga, beliau turut menerima Anugerah Bayonet Emas, satu pengiktirafan tertinggi bagi kadet pakar dalam setiap kohort.

Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar), Cik Gan Siow Huang, hadir selaku pegawai pemeriksa pada upacara itu.

Dalam ucapannya, Cik Gan berkata para pemimpin memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi SAF.

“Kepimpinan dalam SAF memerlukan sikap bersedia untuk belajar, menyesuaikan diri dan mengatasi cabaran. Medan operasi akan sentiasa berubah, maka para anggota SAF juga perlu berkembang seiring dengannya.

“Teruskan menimba ilmu, mengasah kemahiran dan berpegang pada tujuan asas perkhidmatan, iaitu melindungi Singapura dan rakyatnya,” ujar Cik Gan.

Dalam mencapai matlamat itu, 3SG Nurin berkata sokongan keluarganya menjadi kekuatan utama yang membantunya meneruskan perjuangan ingin berbakti kepada negara.

Dorongan itu khususnya dipupuk oleh bapanya, bekas Pakar Ketenteraan Tiga (ME3) Abdul Razak Mohammad Noor, 62 tahun, yang telah bersara selepas berkhidmat selama empat dekad dalam Pancaragam SAF.

Kata 3SG Nurin, antara kenangan manis yang paling diingati adalah saat-saat beliau menyaksikan interaksi bapanya bersama anggota SAF lain.

“Waktu kecil, saya rasa bangga sangat melihat ayah memimpin anggota pasukan Pancaragam SAF.

“Melihat cara ayah berinteraksi dengan penuh hormat dan empati membuat saya terinspirasi untuk menjadi pemimpin seperti beliau,” ujar anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu.

Di rumah, hubungan seperti itu tidak kurang istimewa.

Hubungan bersama ibunya, bekas Koperal (CPL), Norsabah Khatoon Aziz Khan Surattee, 56 tahun, yang juga pernah berkhidmat dalam Pancaragam SAF, menjadi sumber kekuatan emosi yang tidak ternilai buat 3SG Nurin.

Bagi 3SG Nurin Qhaireena Abdul Razak, antara kenangan paling bermakna ketika membesar ialah interaksi bersama ibu bapanya, Koperal Norsabah Khatoon Aziz Khan Surattee (kiri) dan Pakar Ketenteraan Tiga (ME3) Abdul Razak Mohammad Noor, yang pernah berkhidmat dalam unit Pancaragam SAF pada zaman 1980-an.
Bagi 3SG Nurin Qhaireena Abdul Razak, antara kenangan paling bermakna ketika membesar ialah interaksi bersama ibu bapanya, Koperal Norsabah Khatoon Aziz Khan Surattee (kiri) dan Pakar Ketenteraan Tiga (ME3) Abdul Razak Mohammad Noor, yang pernah berkhidmat dalam unit Pancaragam SAF pada zaman 1980-an. - Foto ihsan ABDUL RAZAK MOHAMMAD NOOR

“Sokongan ibu saya amat penting, khususnya kerana beliau memahami pengalaman saya sebagai seorang wanita dalam SAF,” kata 3SG Nurin.

Nasihat dan kehadiran ibu bapanya menjadi antara sumber kekuatan yang membantunya ketika berdepan dengan cabaran.

Ini termasuk menyesuaikan diri sebagai satu-satunya wanita semasa latihan MPSCC.

Beliau akur perasaan janggal wujud dalam interaksinya dalam sekitaran 100 peratus lelaki, apatah lagi apabila beliau perlu membina kepercayaan daripada anggota lain dalam peranannya sebagai Ketua Pakar Platun.

Jurang kemampuan fizikal antara dirinya dan anggota lelaki lain merupakan cabaran yang 3SG Nurin perlu tempuhi, namun perbezaan itulah yang mendorongnya untuk berusaha lebih gigih.

“Tahap kemampuan setiap orang memang berbeza, tetapi kita hanya boleh cuba sebaik mungkin,” kata beliau.

Mengulas tentang pencapaiannya menerima Anugerah Bayonet Emas, 3SG Nurin berkata ia membawa makna lebih mendalam buat keluarganya.

“Mereka nampak sendiri hari-hari yang mana saya pulang dalam keadaan penat pada lewat malam dan kemudian bangun awal pagi.

“Ini bukan sahaja kejayaan saya, tetapi pengiktirafan atas sokongan keluarga,” ujarnya, yang kini bersiap sedia untuk menyertai kursus lain yang akan mempertingkatkan kemahiran beliau sebagai anggota unit.

Beliau berharap untuk kekal dalam perkhidmatan negara dan mencapai pangkat pegawai waran.

“Saya bertekad ingin terus berkhidmat dan membuktikan wanita juga mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam SAF,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg