Topik diikuti
Pergi ke BHkuChun Sing: RSIS perlu bantu S’pura kekal selangkah di depan dalam dunia kian tidak menentu
Chun Sing: RSIS perlu bantu S’pura kekal selangkah di depan dalam dunia kian tidak menentu
Chun Sing: RSIS perlu bantu S’pura kekal selangkah di depan dalam dunia kian tidak menentu
Bagi membolehkan Singapura memahami kuasa geopolitik yang sedang membentuk semula dunia, ia perlu mempunyai kefahaman mendalam, terperinci dan manusiawi terhadap pandangan dunia, kebimbangan serta impian yang ingin dicapai pemimpin di Beijing dan Washington.
Negara ini juga harus mempunyai tahap kefahaman mendalam yang sama terhadap kuasa yang membentuk masyarakat di negara jiran terdekatnya, Malaysia dan Indonesia, serta tidak menganggap bahawa hubungan ini boleh diuruskan tanpa usaha keras, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Bagi tujuan ini, peranan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dalam menyediakan pembuat dasar setempat dengan analisis mendalam, jujur dan berpandangan ke hadapan tidak akan pernah selesai.
Demikian kata Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, dalam acara bagi memperingati ulang tahun ke-30 sekolah possiswazah dan badan pemikir tersebut, di Parkroyal Collection Marina Bay, pada 22 September.
Encik Chan menceritakan semula bagaimana institusi sebelum RSIS – Institut Pertahanan dan Pengajian Strategik (IDSS) – ditubuhkan pada 1996 supaya Singapura mempunyai suara strategiknya sendiri dan tidak terlepas pandang perkembangan luar.
Keperluan ini semakin meningkat selepas 30 tahun, dengan dunia berubah jauh lebih pantas dan dalam keadaan yang semakin sukar diramal, ujar Encik Chan yang turut memberi contoh persaingan antara Amerika Syarikat dengan China yang kini merentasi sektor perdagangan, teknologi, rantaian bekalan dan ideologi.
Sehingga kini, Singapura kekal relevan kepada Amerika dan China disebabkan pemahamannya terhadap isu-isu yang dihadapi kedua-dua negara itu, serta keupayaannya dalam menawarkan perspektif sebagai pihak ketiga yang jujur dan dipercayai.
Namun, kerelevanan ini tidak pernah terjamin dan memerlukan usaha berterusan, tambahnya.
Beliau memetik Pertukaran Tiga Pihak RSIS sebagai contoh terbaik bagaimana Singapura telah mewujudkan ruang yang dipercayai untuk para akademik dan pegawai Amerika serta China berhimpun untuk membincangkan perbezaan mereka secara langsung, sekali gus memberikan gambaran mengenai pemikiran sebenar mereka.
Edisi ketujuh dialog tahunan itu telah berakhir pada 27 Ogos.
“Selari dengan perubahan dalam pandangan dan keperluan Amerika dan China, kita mesti terus mencabar diri kita untuk mengemukakan usulan baharu yang dapat terus mengukuhkan kerelevanan kita,” katanya.
Dalam ucapannya, Encik Chan berkata beliau berkongsi visi pengarah pengasas IDSS, mendiang Encik S R Nathan, bahawa badan pemikir itu sepatutnya menjadi pusat rujukan utama bagi sesiapa sahaja di rantau ini yang ingin memahami secara mendalam dinamik Asia Tenggara, terutamanya Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Namun, usaha bagi merealisasikan visi tersebut memerlukan kerja keras daripada aspek sejarah, budaya politik dan struktur ekonomi, sehinggalah kepada hubungan antara pelbagai negeri dan institusi di dalam setiap entiti politik ini.
Ia juga memerlukan usaha berterusan dalam mendekati pihak berkepentingan di luar Singapura bagi membina rangkaian individu dan institusi yang melihat RSIS sebagai tempat yang dipercayai untuk memahami keadaan dunia bersama-sama, tambah beliau.
Pada dasarnya, misi badan pemikir tersebut adalah untuk membantu Singapura kekal selangkah di hadapan, dengan memanfaatkan hubungan mendalam yang telah dibina melalui usaha gigih itu, kata Encik Chan.
“Pada pandangan saya, RSIS mesti sentiasa bercita-cita untuk menjadi institusi yang membina dan mengekalkan keupayaan ini untuk Singapura,” tambahnya.
“Inilah sebabnya – dan akan terus menjadi sebab – mengapa kami akan menyokong pertumbuhan dan perkembangan RSIS.”