Singapura dan Malaysia saling bergantung antara satu sama lain, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Oleh demikian, beliau menekankan peri pentingnya kerjasama silang negara antara kedua-dua negara dalam dunia yang kian bergolak.
“Kepentingan kita bersama mengingatkan saya kita harus sentiasa sedar persaingan bukanlah antara Malaysia dengan Singapura, tetapi persaingan sebenar adalah bagaimana Singapura dan Malaysia boleh bekerjasama untuk mengatasi cabaran dunia yang semakin tidak menentu,” kata beliau.
Encik Chan berkata demikian semasa menyampaikan ucaptamanya dalam sesi dialog di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia pada 26 Ogos.
Dalam satu kenyataan oleh Mindef Singapura pada 26 Ogos, sesi dialog tersebut dihadiri sekitar 200 pelajar Puspahanas.
Memberi penjelasan lanjut, beliau berkata sebagai negara jiran, Singapura dan Malaysia bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang seperti ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.
Beliau akur dari segi kedudukan antarabangsa, kededua negara merupakan negara kecil, sekali gus ini menjadikannya lebih penting untuk Singapura dan Malaysia “mencari peluang bekerjasama untuk memenuhi kepentingan kita”.
Encik Chan berkata: “Kita (Malaysia dan Singapura) merupakan antara rakan dagangan utama satu sama lain.
“Kami melihat manfaat dan peluang bersama dalam kerjasama rentas sempadan, yang membantu meningkatkan nilai dalam inisiatif yang dianjur bersama.”
Beliau menukil contoh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai peluang kerjasama yang dapat meningkatkan aliran dagangan dan memperkukuh ekosistem perniagaan kedua-dua negara, antara lain.
Bagi aspek pertahanan pula, masih banyak peluang yang dapat diterokai bersama kedua-dua negara.
Beliau menukil rondaan yang dilakukan di bawah inisiatif Rondaan Selat Melaka, dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara konsisten mengerahkan anggotanya ke Pusat Penyebaran Maklumat (IFC) Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Kemudahan Maklumat Menentang Pengganasan (CTIF).
Encik Chan memberi contoh anggota semasa ATM yang dikerahkan ke IFC antara lain, memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara pusat itu dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Ini di samping kerjasama pada platform pelbagai hala serantau seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM), ADMM-Plus dan Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA), tambah beliau.
“Jelas terbukti Malaysia dan Singapura mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan.
“Cabaran yang kita hadapi bukan dalam hubungan dua hala, tetapi dalam menangani isu yang lebih besar seperti memastikan keamanan dan kestabilan serantau, dan mengekalkan kerelevanan Asean,” ujar Encik Chan.
Selain sesi dialog, beliau turut menemui Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen Malaysia.
Menurut kenyataan Mindef, Datuk Anwar dan Encik Chan mengesahkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin antara kededua negara dan membincangkan maklumat terkini berkenaan keselamatan rantau Asean, termasuk ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja.
Encik Chan berada di Malaysia sempena lawatan perkenalan yang berlangsung dari 25 hingga 26 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg