Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing temui PM Vietnam, bincang kerjasama ekonomi digital, kredit karbon

Jul 22, 2025 | 6:49 PM
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kiri), bertemu Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh, bagi perkukuh hubungan dua hala.
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kiri), bertemu Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh, bagi perkukuh hubungan dua hala. - Foto MINDEF

Menteri Pertahanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, mengesahkan hubungan dua hala yang kukuh bersama Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh, dan Menteri Pertahanan Negara, Jeneral Phan Van Giang, semasa pertemuan mereka di Hanoi pada 22 Julai.

Semasa pertemuannya dengan PM Pham, kedua-dua pemimpin memperkukuh semula hubungan dua hala yang mesra antara Singapura dengan Vietnam, dan membincangkan pelbagai inisiatif di bawah Kerjasama Strategik Menyeluruh (CSP).

“Kami berbincang bagaimana kami boleh melaksanakan beberapa idea. Contohnya, bagaimana kami boleh mengadakan dialog yang lebih kerap pada tahap strategik, memandangkan keadaan ekonomi dan keselamatan sejagat yang bergelora,” kata Encik Chan.

Encik Chan berkata para pemimpin turut berbincang tentang beberapa cabaran yang dihadapi kedua-dua negara, serta peluang ekonomi baru.

Ini termasuk isu keselamatan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, dan bagaimana kedua-dua negara boleh meneroka bidang data dan kewangan untuk mengeratkan ekonomi Asean, kata Encik Chan.

“Kami turut berbincang tentang mewujudkan lebih banyak dialog antara perkhidmatan awam dari kedua-dua negara.

“Bagaimana kita boleh menggunakan kesempatan itu untuk berbincang tentang cabaran yang muncul yang kita hadapi dari sisi yang berbeza,” tambahnya.

CSP tersebut adalah perkongsian pertama antara Singapura dengan sebuah negara anggota Asean.

Ia diumumkan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Encik To Lam, bersama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada awal Mac.

Ia mencerminkan komitmen bersama Singapura dan Vietnam untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang yang membawa manfaat bersama bagi kedua-dua negara, seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui dan kredit karbon.

Selain CSP, kerjasama Singapura dengan Vietnam juga merangkumi sokongan untuk Persetujuan Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) dan Grid Kuasa Asean (APG), yang akan mengukuhkan ekonomi dan daya tahan Singapura, Vietnam dan Asean.

Encik Chan, yang turut diiringi Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, juga bertemu Jeneral Giang.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik dan membincangkan cara mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala, di bawah bidang kuasa CSP.

Menteri-menteri juga mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam platform pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus.

Mereka turut mengesahkan komitmen kedua-dua negara terhadap keamanan dan kestabilan serantau melalui rangka kerja ini, kata Encik Chan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Julai.

“Jeneral Giang dan saya bersetuju untuk mengukuhkan hubungan pertahanan, terutama di tengah-tengah latar belakang geopolitik yang tidak menentu.

“Kami berhasrat meningkatkan interaksi melalui lawatan peringkat tinggi, dialog dua hala, menggalak kehadiran kursus bersama, dan mengadakan pertukaran tahap profesional.

“Kami juga akan terus bekerjasama di ADMM/ADMM-Plus untuk menegakkan persekitaran keselamatan serantau yang terbuka dan terangkum,” kata Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg