Parti Tindakan Rakyat (PAP) menghantar delegasi seramai 15 orang ke Vietnam atas jemputan Parti Komunis Vietnam (CPV).
Ia merupakan satu lawatan pembelajaran bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua parti.
Delegasi PAP diketuai oleh Penolong Setiausaha Agung PAP merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Turut serta ialah Pengerusi Cawangan PAP merangkap Menteri Negara, Encik Desmond Choo; Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Encik Alex Yeo, Encik Daniel Liu, Dr Hamid Razak dan Cik Valerie Lee.
Lawatan itu dinyatakan PAP menerusi satu kenyataan pada 21 Julai.
Dalam kenyataan tersebut, Encik Chan berkata kedua-dua parti berakar daripada tradisi yang berbeza tetapi berkongsi aspirasi yang serupa.
Menurutnya, mereka mentadbir dalam persekitaran yang kompleks, di mana kestabilan dan kepercayaan sukar untuk diperoleh.
“Kewibawaan kami yang berterusan bergantung kepada keupayaan kami dalam mentadbir secara berkesan, mendengar suara rakyat, serta menyesuaikan diri dengan berani terhadap perubahan global – tanpa mengabaikan kepentingan negara dalam dunia yang semakin berubah ini.
“Kami mempunyai banyak perkara untuk dipelajari antara satu sama lain, dan kami akan terus memperkukuh hubungan ini demi pertumbuhan dan pembangunan negara, rakyat, dan rantau kita bersama,” ujarnya.
Kenytaan PAP tersebut menambah hubungan jangka panjang antara PAP dengan CPV dipupuk melalui komitmen bersama terhadap tadbir urus yang kukuh dan pandangan jauh.
Ini demi menjamin kestabilan, pertumbuhan, dan kemajuan jangka panjang untuk rakyat masing-masing.
Delegasi PAP itu telah bertemu dengan pemimpin utama CPV, termasuk Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Dalaman CPV, Encik Phan Dinh Trac; dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Organisasi, Encik Nguyen Thanh Tam.
Kedua-dua pihak telah berkongsi pengalaman mengenai tadbir urus serta pandangan tentang Asia Tenggara dan kedudukan global kedua-dua negara.
Delegasi itu juga telah bertemu dengan Naib Presiden Tetap Akademi Politik Negara Ho Chi Minh, Encik Doan Minh Huan; dan alumni Program Pemimpin Berpotensi anjuran akademi tersebut – yang pernah melawat Singapura melalui program dua hala yang diperkenalkan pada 2023 bagi memperkukuh hubungan antara pemimpin muda kedua-dua negara.
Anggota PAP itu dijadual pulang ke Singapura pada 22 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg