Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GE2025: SM Teo tidak akan tanding di GRC Pasir Ris-Changi, Indranee ketuai pasukan

Lahir kesediaan terus sokong PM Wong, sedia sumbang dalam apa jua cara
Apr 21, 2025 | 2:33 PM
Encik Teo Chee Hean (tengah) tidak akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). Anggota lain pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC itu terdiri daripada (dari kiri) Encik Sharael Taha, Cik Indranee Rajah, Cik Valerie Lee dan Encik Desmond Tan.
Encik Teo Chee Hean (tengah) tidak akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). Anggota lain pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC itu terdiri daripada (dari kiri) Encik Sharael Taha, Cik Indranee Rajah, Cik Valerie Lee dan Encik Desmond Tan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, tidak akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), dan akan digantikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang akan mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC itu.

Encik Teo, 70 tahun, yang telah berkecimpung dalam bidang politik sejak 33 tahun lalu, tidak mengesahkan sama ada beliau akan bersara atau bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) lain.

Tambahnya, beliau akan terus menyokong Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan pasukannya, dan sedia menyumbang dalam apa jua cara yang ditentukan Encik Wong.

Di samping Cik Indranee, GRC Pasir Ris-Changi akan dianggotai Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; Encik Sharael Taha; dan muka baru PAP, Cik Valerie Lee.

Cik Lee, 39 tahun, merupakan Ketua Hal Ehwal Korporat Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara, yang kini melibatkan diri dalam arena politik buat julung kalinya.

Semasa satu sidang media di Vidacity, bekas tapak Sekolah Rendah Loyang di Pasir Ris, pada 21 April, Encik Teo, yang telah berkhidmat kepada kawasan Pasir Ris selama 28 tahun, berkata:

“Saya tidak akan bertanding semula di GRC Pasir Ris-Changi.

“Saya akan terus menyokong Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan pasukan 4Gnya (generasi keempat) dan kekal bersedia untuk menyumbang kepada pasukan itu di mana sahaja, dan dalam apa jua cara Encik Wong rasa saya boleh berkhidmat.

“Saya berbuat demikian dengan penuh keyakinan – bahawa kami mempunyai pasukan yang kuat bersedia untuk berkhidmat kepada anda selama bertahun lamanya, pada masa hadapan,” jelasnya.

Cik Indranee, 62 tahun, telah berkhidmat di GRC Tanjong Pagar sejak kali pertama berkecimpung dalam arena politik pada 2001.

Menyentuh tentang pemindahannya ke GRC Pasir Ris-Changi, Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), berkata:

“Pengenalan (saya kepada GRC Pasir Ris-Changi) hari ini sangat menyedihkan dan mengujakan pada masa yang sama. Ia menyedihkan kerana ia bermakna saya terpaksa meninggalkan penduduk GRC Tanjong Pagar.”

Tambahnya, beliau bersemangat untuk membina masyarakat yang kukuh di mana orang ramai mengambil berat antara satu sama lain, serta mahu menangani isu kos sara hidup dan mendorong tumpuan yang lebih kukuh kepada keluarga, seperti pengenalan 10 minggu cuti ibu bapa yang pernah diperjuangkannya di Parlimen.

Mengulas tentang penambahbaikan prasarana di GRC Pasir Ris-Changi, Cik Indranee berkata:

“Perkara pertama yang menarik perhatian saya apabila saya melawat kawasan ini (Pasir Ris) ialah jumlah pembinaan yang sedang dijalankan. Semua ini adalah bukti pembangunan bandar.

“Kami akan beri tumpuan kepada isu pengangkutan, bagaimana untuk menutup jurang prasarana di peringkat tempatan bagi memudahkan pergerakan penduduk.”

GRC Pasir Ris-Changi adalah salah satu GRC baru yang dibentuk hasil daripada perubahan sempadan yang dikeluarkan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac untuk GE2025.

Ini bermakna GRC Pasir Ris-Punggol akan ditiadakan lagi dan digantikan dengan GRC Pasir Ris-Changi dan GRC Punggol baru.

GRC Pasir Ris-Changi akan menyerap estet-estet di Pasir Ris dan beberapa bahagian paling timur GRC East Coast seperti estet perumahan Loyang dan Flora.

Ia akan terdiri daripada 100,639 pengundi – 87,768 dari GRC Pasir Ris-Punggol dan 12,871 dari GRC East Coast.

Encik Teo, Encik Tan, dan Encik Sharael sebahagian daripada pasukan lima anggota PAP yang bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol pada GE2020.

Dua lagi anggota pasukan itu adalah Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary, dan Cik Yeo Wan Ling – kedua-duanya belum lagi diumumkan PAP sebagai calon di mana-mana GRC.

Pasukan PAP itu meraih 64.16 peratus undi, menewaskan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) yang mendapat 23.67 peratus undi, serta parti Suara Rakyat (PV) yang mendapat 12.17 peratus undi.

Setakat ini, antara parti pembangkang yang aktif turun padang di GRC Pasir Ris-Changi adalah Perikatan Demokratik Singapura (SDA), lantas mengukuhkan jangkaan yang mereka akan bersaing dalam GE2025 di GRC baru itu.

Namun, apabila ditanya tentang calon yang bakal bertanding, Encik Lim berkata butiran itu bakal dikongsi pada Hari Penamaan Calon iaitu 23 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg