Tingkatkan mutu kerja, berani berinovasi dan terus beri tumpuan kepada keperluan rakyat.
Itulah yang patut dilakukan oleh kakitangan awam bagi memastikan Singapura kekal di hadapan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Demikian kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, pada 8 Julai.
Menurut Encik Chan, Singapura boleh berbangga dengan pencapaiannya yang setaraf dengan piawaian antarabangsa, terutama dalam kualiti hidup dan mutu perkhidmatan pemerintah.
Namun, beliau memberi peringatan agar tidak leka, sambil menegaskan bahawa negara lain, termasuk jiran terdekat Singapura, sedang mencatat kemajuan pesat.
Malah, ada yang telah mendahului Singapura dalam beberapa aspek, tambahnya.
“Kita mesti sedar bahawa dengan teknologi yang mengganggu norma hari ini, banyak negara yang dahulunya ketinggalan kini boleh memintas pencapaian yang kita bina selama bertahun-tahun,” kata beliau semasa majlis Anugerah Transformasi Sektor Awam yang diadakan di One Punggol.
Encik Chan menyampaikan ucapannya kepada hampir 4,000 kakitangan awam – kira-kira 800 hadir secara fizikal, manakala 3,000 yang lain menyertai secara dalam talian.
Sebanyak 140 anugerah diberikan kepada agensi dan kakitangan awam yang cemerlang dalam memberikan khidmat, inovasi serta pembangunan kendiri dan pasukan mereka.
Dalam ucapannya, Encik Chan menggariskan tiga keutamaan utama bagi perkhidmatan awam.
Keutamaan pertama ialah memudahkan lagi akses rakyat kepada perkhidmatan pemerintah.
Beliau memberi contoh pusat ServiceSG – termasuk di One Punggol – yang menawarkan 600 perkhidmatan daripada lebih 25 agensi di bawah satu bumbung.
Misalnya, jika seorang warga emas datang untuk mendapatkan bantuan perumahan, pegawai di situ boleh membantu dalam hal subsidi penjagaan kesihatan dan sokongan sosial yang berkaitan.
Dengan itu, ia mengurangkan keperluan untuk berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan, lapor The Straits Times (ST).
Keutamaan kedua ialah pastikan kakitangan awam sentiasa melihat di luar sempadan agensi masing-masing.
“Kita perlu sentiasa mencari peluang baru untuk bekerjasama menggunakan sumber yang ada demi kebaikan rakyat dan negara,” kata beliau.
Keutamaan ketiga pula ialah memperkasa pembangunan kerjaya kakitangan awam.
Beliau mengumumkan pelancaran inisiatif baru dinamakan Pergerakan Kecergasan Kerjaya – satu program latihan untuk membekalkan kemahiran dan pemikiran yang diperlukan bagi menyesuaikan diri dalam pelbagai fasa kerjaya.
Bagi membina pasukan kepimpinan yang lebih mantap, perkhidmatan awam akan menggabungkan pegawai berkemahiran mendalam dalam bidang tertentu dengan pegawai yang mempunyai pengalaman dasar yang luas.
Gabungan perspektif ini, kata beliau, membangunkan kemahiran dan penyelesaian yang lebih kukuh.
Pegawai berpengalaman juga akan dilatih dalam kemahiran bimbingan kerjaya agar mereka dapat memberi panduan secara peribadi kepada rakan sekerja.
Kakitangan awam turut digalak bertanggungjawab ke atas pembangunan diri masing-masing menerusi wadah seperti, One Talent Gateway, yang membolehkan mereka mengenal pasti kekurangan kemahiran dan meneroka peluang pembangunan kerjaya.
Selain memperkukuh dan memanjangkan jangka hayat kerjaya mereka, langkah itu akan memastikan perkhidmatan awam kekal dinamik, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, serta terus menarik bakat-bakat baharu, tambah Encik Chan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan keperluan dalam perubahan itu memandangkan cabaran yang dihadapi Singapura, termasuk kekangan kewangan dan peningkatan jangkaan daripada orang ramai.
Penduduk yang semakin menua akan menyebabkan perbelanjaan kesihatan meningkat, ujar beliau.
Perubahan iklim dan keperluan untuk mematuhi bajet karbon turut menambah kekangan.
“Disebabkan banyak cabaran itu saling berkait, penyelesaiannya perlu dilihat secara menyeluruh dan merangkumi pelbagai bidang, dengan imbangan yang sesuai antara keutamaan yang berbeza,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg